Johor lulus 21 JLH air terawat untuk 19 pusat data

Sumber: Astro Awani
Johor lulus 21 JLH air terawat untuk 19 pusat data
Gambar: Astro Awani

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor meluluskan penggunaan 21 juta liter sehari (JLH) air terawat bagi 19 pusat data yang beroperasi di negeri itu, jauh lebih rendah berbanding permohonan asal sebanyak 73 JLH. Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata jumlah yang diluluskan bersamaan kira-kira 1.05 peratus daripada purata pengeluaran air terawat negeri, iaitu 2,034 JLH.

Beliau berkata setiap permohonan pembangunan pusat data perlu melalui penilaian teknikal oleh Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor (JPPPDNJ) sebelum kebenaran merancang diluluskan.

Angka itu, katanya, menepis dakwaan bahawa pembangunan pusat data akan menyebabkan gangguan bekalan air. Beliau menegaskan kesejahteraan rakyat tidak akan dikorbankan demi pelaburan.

“Keselamatan bekalan air termasuk kecukupan tenaga dan kelestarian alam sekitar adalah perkara yang langsung tidak boleh dikompromi,” katanya ketika menggulung Belanjawan Johor 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Onn Hafiz, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap, berkata kerajaan negeri bukan sahaja mengehadkan jumlah bekalan, malah menggalakkan pengendali pusat data menggunakan teknologi penyejukan air dan sumber alternatif bagi mengurangkan pergantungan kepada bekalan air konvensional.

Bridge Data Centres dan Computility antara syarikat yang menggunakan air kumbahan terawat, katanya. DayOne pula mendapatkan air dari Sungai Tebrau melalui loji rawatan air yang dibina sendiri di Kempas Tech Park.

Beliau turut berkata Johor menjadi pilihan pelabur berprofil tinggi, khususnya dalam industri berteknologi tinggi dan bernilai tambah, dan pembangunan negeri tidak tertumpu kepada pusat data semata-mata. Pelaburan sejak 2024 hingga suku ketiga tahun ini menawarkan 60,000 potensi pekerjaan, termasuk 15,000 pekerjaan bergaji premium.

Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Johor ke-16, yang bermula pada 19 Nov, berakhir hari ini.