PSS bantu tangani kekurangan zat makanan murid B40

Program Susu Sekolah (PSS) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus membantu menangani kekurangan zat makanan dalam kalangan murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), kata Farm Fresh Berhad pada Gala Hari Susu Sekolah Sedunia 2026 di Majika Penang Convention Centre (MPCC), Pulau Pinang, baru-baru ini.
Farm Fresh, yang menjadi pembekal program itu bagi tempoh 2025 hingga 2030, berkata PSS bukan hanya bertujuan meningkatkan pengambilan nutrisi murid, tetapi juga membantu membina keterampilan dan keyakinan diri generasi muda.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Azmi Zainal, berkata pembangunan keterampilan penting untuk melahirkan murid yang holistik, yakin dan berdaya saing. Menurutnya, pencapaian akademik sahaja tidak memadai jika murid tidak mampu membawa diri, berkomunikasi dan menggunakan kemahiran dalam kehidupan harian.
“Setiap tahun kami mengadakan majlis seperti ini bagi meraikan anak-anak sekolah dan menyambut Hari Susu Sekolah Sedunia bersama masyarakat di seluruh dunia,” katanya.
Azmi turut menghargai semua pihak yang membantu memastikan susu dihantar kepada murid setiap hari, termasuk usahawan penghantaran yang berperanan penting dalam membekalkan susu ke sekolah, khususnya di kawasan pedalaman. Majlis itu turut dihadiri Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
PSS dilaksanakan di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) KPM bagi membantu murid daripada keluarga B40 memperoleh pemakanan lebih seimbang sepanjang tempoh persekolahan. Melalui kontrak bekalan dari 2025 hingga 2030, Farm Fresh membekalkan hampir 80 juta pek susu UHT tanpa perisa setiap tahun kepada murid penerima RMT.
Syarikat itu dipilih menerusi tender terbuka untuk membekalkan susu di lima zon, iaitu Kelantan; Terengganu dan Pahang; Perlis dan Kedah; Pulau Pinang dan Perak; serta Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Dalam usaha memperkukuh kelestarian, Farm Fresh bekerjasama dengan Tetra Pak Malaysia untuk mengumpul dan mengitar semula kotak susu PSS terpakai menerusi program “Kotak Jadi Taman” di sekolah seluruh negara. Melalui konsep “Recycle and Redeem”, warga sekolah boleh mengumpul mata dengan menghantar kotak susu untuk dikitar semula, sebelum menebusnya dengan barangan daripada bahan kitar semula.
Pertandingan Kotak Jadi Taman Peringkat Kebangsaan turut dianjurkan dengan penyertaan 10 sekolah dan hadiah keseluruhan RM6,800. Pertandingan itu bertujuan menggalakkan amalan kitar semula serta minat terhadap pertanian dalam kalangan murid.
Selain itu, Farm Fresh menyediakan dermasiswa bernilai RM500,000 kepada 500 pelajar Tingkatan Enam daripada keluarga B40 pada tahun ini. Syarikat itu turut memperuntukkan RM420,000 bagi program tuisyen matematik untuk 500 murid terpilih, menyediakan susu percuma kepada murid di 10 sekolah setiap tahun, serta membekalkan papan pintar percuma bernilai RM200,000 kepada 28 buah prasekolah.
Azmi berkata Farm Fresh komited menyediakan produk tenusu yang segar, berkhasiat dan mampu milik. Beliau berharap kerjasama dengan pelbagai pihak dapat membantu lebih ramai murid mengamalkan pemakanan seimbang serta membina keyakinan diri.