Bekalan elektrik pulih di beberapa kawasan Sandakan, Lahad Datu dan Kunak

KOTA KINABALU: Bekalan elektrik di beberapa kawasan Sandakan, Lahad Datu dan Kunak dipulihkan malam ini selepas gangguan pada talian penghantaran dari pantai barat menyebabkan bekalan terputus. Sabah Electricity Sdn Bhd memaklumkan pemulihan itu melibatkan kawasan utama di ketiga-tiga daerah berkenaan.
Di Sandakan, bekalan kembali pulih di Kompleks Sukan Sandakan, Penjara Sandakan, Utama Park Villa Fasa 1 dan 2, Garden Villa, Utama Sri Condo Blok A dan B, Utama Court, Jalan Sibuga, Taman Mawar serta Taman Anggerik.
Di Lahad Datu, kawasan yang bekalannya dipulihkan termasuk Hospital Lahad Datu, pejabat Eastern Sabah Security Command (Esccom), Pejabat Daerah Lahad Datu, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, Klinik Kesihatan Lahad Datu dan Majlis Daerah Lahad Datu. Pasar Ikan, Pasar Rakyat, Taman Fajar dan Jalan Tengah Nipah turut disenaraikan.
Bagi Kunak, bekalan elektrik pulih di bandar Kunak, Kampung Kunak Kecil, Pejabat Daerah, Balai Polis Sime Darby, pelabuhan serta kawasan sekitarnya. Sabah Electricity memohon maaf atas kesulitan yang berlaku sepanjang gangguan itu dan menghargai kesabaran serta kerjasama para pelanggannya.
Dalam kenyataan sama, syarikat itu menafikan mesej tular, khususnya di media sosial, yang mendakwa bekalan elektrik di sepanjang pantai timur Sabah akan terganggu selama dua minggu. Sabah Electricity menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan mesej berkenaan, menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi dan mendapatkan perkembangan terkini hanya melalui saluran rasmi syarikat.
Pelanggan yang memerlukan penjelasan boleh menghubungi 15444 atau 088-515000 untuk pengesahan. Pertanyaan dan aduan juga boleh dikemukakan melalui WhatsApp di 019-8525427.