Anwar kenang ketegasan Abdul Gani menuntut keadilan

Sumber: Astro Awani
Anwar kenang ketegasan Abdul Gani menuntut keadilan
Gambar: Astro Awani

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta malam tadi.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Anwar menyifatkan pemergian Abdul Gani, 71, sebagai kehilangan seorang tokoh perundangan yang berani menegakkan keadilan. Allahyarham dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan.

Anwar berkata beliau akan sentiasa mengenang pendirian teguh Abdul Gani ketika negara berdepan skandal rasuah terbesar.

“Saya akan sentiasa mengenang ketegasan Allahyarham dalam menuntut keadilan tatkala negara terheret ke dalam skandal rasuah terbesar. Beliau teguh dengan pendirian dalam tempoh getir itu, sehingga akhirnya disingkirkan daripada jawatan,” katanya.

Perdana Menteri turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni Allahyarham dan melimpahkan rahmat ke atas rohnya. Beliau juga berharap keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi kehilangan itu.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil turut menyampaikan takziah kepada keluarga Abdul Gani, selain mengenang jasa dan sumbangan beliau dalam bidang perundangan serta perkhidmatan awam.

“Dukacita menerima khabar pemergian bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ke rahmatullah. Segala jasa, khidmat bakti dan sumbangan Allahyarham dalam bidang perundangan serta perkhidmatan awam negara akan sentiasa dikenang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Fahmi turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni dosa Allahyarham, merahmati rohnya serta menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Beliau berharap keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan dan kekuatan.

Abdul Gani pernah berkhidmat sebagai Peguam Negara selama 13 tahun, dari 2002 hingga 2015.