UiTM sokong pindaan Akta 173 dan Akta 174, kata TNC HEP

KUALA LUMPUR: Komitmen kerajaan untuk menyegerakan pindaan Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap kematangan intelektual mahasiswa. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Mohd Sazili Shahibi, berkata demikian dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata langkah itu digerakkan seiring pembaharuan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan bukan sekadar perubahan teknikal perundangan. Sebaliknya, katanya, ia memberi pengiktirafan kepada mahasiswa, khususnya anak-anak bumiputera, untuk berfikir secara kritis, menyuarakan pandangan dan memikul tanggungjawab kenegaraan.
Pengurusan tertinggi UiTM, terutama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), menyokong hasrat kerajaan itu, katanya. Aspirasi berkenaan juga selari dengan hala tuju yang digerakkan universiti melalui Agenda Transformasi Anak Mahasiswa UiTM (TAMU).
Menerusi agenda itu, proses pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) diserahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPJPP), tanpa campur tangan JHEP, menurut Mohd Sazili. UiTM turut menubuhkan Parlimen Mahasiswa di peringkat universiti dan semua kampus cawangannya sebagai medan rasmi wakil pelajar membahaskan isu mahasiswa.
Katanya, wakil pelajar juga dilantik menganggotai Senat UiTM serta jawatankuasa pengurusan tertinggi. Mahasiswa diberi kuasa meluluskan bajet program sendiri berdasarkan had siling yang dipersetujui bersama JHEP, selain diperkasakan menerusi Projek Koridor Keusahawanan Mahasiswa UiTM.
Autonomi pengurusan kebajikan turut diturunkan kepada kepimpinan akar umbi di kolej kediaman dan fakulti. Mohd Sazili berkata kepimpinan terbentuk melalui kepercayaan dan ruang untuk berfikir, bukannya dengan mengongkong generasi muda.
Beliau berkata kebebasan yang disertai akauntabiliti serta keberanian bersuara dengan adab dapat melahirkan graduan bumiputera yang cemerlang dalam akademik, kukuh jati diri dan bersedia memikul amanah kepimpinan di persada global.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan komitmen kerajaan untuk menyegerakan pindaan kedua-dua akta itu menerusi program khas Dialog Negara bertemakan “Di Sebalik Keputusan”. Langkah berkenaan turut selari dengan kerangka Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.