Phongsavanh Group labur lebih RM100 juta di Malaysia

PETALING JAYA: Konglomerat Laos, Phongsavanh Group, telah melabur lebih RM100 juta di Malaysia setakat ini dan mahu memperkukuh kehadirannya di negara ini. Hasrat itu dizahirkan sempena pembukaan pejabat baharu kumpulan berkenaan di Bandar Utama pada 24 November lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemegang Saham Phongsavanh Group, Somboun Phongsavanh, berkata urus niaga kumpulan itu di Malaysia termasuk pembelian peralatan, penggunaan teknologi dan khidmat kepakaran untuk menyokong operasi di Laos.
Antara pelaburan yang dibuat ialah pembelian peralatan komunikasi dari Malaysia untuk dipasarkan di Laos, selain kerjasama dengan rakan strategik bagi membangunkan sistem perbankan kumpulan itu.
Pejabat berkenaan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Laos, Thongsavanh Phomvihane. Somboun berkata Malaysia dipilih sebagai pusat operasi dan tadbir urus korporat kerana mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang dapat membantu menyelaraskan amalan pengurusan dengan piawaian antarabangsa.
Menurutnya, kehadiran tenaga profesional tempatan juga membuka ruang untuk pemindahan ilmu dan kepakaran bagi meningkatkan kecekapan operasi syarikat di bawah kumpulan itu di Laos.
“Keutamaan kami ketika ini adalah membangunkan pasukan yang kukuh di Malaysia untuk menyokong operasi syarikat di Laos sebelum meneroka lebih banyak peluang pelaburan di ASEAN dan pasaran antarabangsa,” katanya dalam temu bual bersama media.
Bagaimanapun, jumlah pelaburan tambahan yang mungkin disalurkan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang masih dalam penilaian, katanya.
Somboun turut menggalakkan syarikat Malaysia meneroka peluang perniagaan di Laos, khususnya dalam sektor sumber asli, pelancongan, logistik dan rantaian bekalan. Kedudukan Laos yang bersempadan dengan lima negara, katanya, memberikan kelebihan untuk berkembang sebagai hab serantau bagi perdagangan dan pelaburan.
Ketua Pegawai Eksekutif Phongsavanh Group Malaysia, Ho Sai Weng, berkata syarikat itu mahu menjadi penghubung untuk menggalakkan pelaburan dua hala antara Malaysia dengan Laos. Beliau menyifatkan kekuatan ekonomi digital Malaysia dan tenaga kerja yang menguasai pelbagai bahasa sebagai kelebihan untuk kerjasama perniagaan rentas sempadan.
Ho berkata kumpulan itu mahu membantu pelabur memahami pasaran Laos, mengenal pasti peluang dan membina rangkaian dengan rakan niaga tempatan. Phongsavanh Group juga terbuka untuk bekerjasama secara langsung dengan syarikat Malaysia dalam projek yang berpotensi menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang dan membuka peluang perniagaan di kedua-dua negara.
Ditubuhkan pada 1977, Phongsavanh Group ialah konglomerat milik swasta dari Laos yang mempunyai kepentingan dalam perbankan dan kewangan, petroleum, logistik, pembinaan, telekomunikasi, perdagangan, insurans serta francais makanan dan minuman.
Pembukaan pejabat baharu itu merupakan langkah untuk memperkukuh hubungan perniagaan Malaysia-Laos, bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun ini.