Abdul Gani Patail meninggal dunia, tinggalkan legasi kes berprofil tinggi

KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang mengendalikan beberapa kes berprofil tinggi sepanjang lebih tiga dekad dalam bidang perundangan, meninggal dunia di sebuah hospital swasta malam tadi akibat jangkitan.
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan berita kematian itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Beliau berkata seluruh warga Jabatan Peguam Negara (AGC) turut merakamkan takziah serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT.
Abdul Gani memegang jawatan Peguam Negara selama 13 tahun, dari 2002 hingga 2015. Sepanjang tempoh itu dan kerjayanya dalam perundangan, beliau terlibat dalam pendakwaan beberapa kes yang mendapat perhatian, termasuk kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Joseph Pairin Kitingan pada 1993 dan kes kumpulan pemberontak Al-Ma’unah pada 2000.
Pada 2006, beliau turut menjadi anggota pasukan pendakwaan dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Abdul Gani juga mengetuai pendakwaan terhadap bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik pada 2010, yang berdepan pertuduhan menipu Kerajaan Malaysia berkaitan skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Kes itu berkaitan pembelian tanah di Pulau Indah yang membabitkan RM1.08 billion. Beliau turut mengendalikan pendakwaan terhadap bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo berhubung kesalahan rasuah berkaitan pembelian hartanah.
Antara kes lain yang dikendalikannya ialah pendakwaan terhadap bekas Pengarah Urusan Perwaja Rolling Mill and Development Sdn Bhd Tan Sri Eric Chia Eng Hock atas tuduhan pecah amanah jenayah membabitkan RM76.4 juta. Beliau juga mengendalikan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam.
Anak kelahiran Lahad Datu itu turut mengetuai pasukan pendakwaan bagi kes membabitkan 30 individu, termasuk warga Filipina, yang didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong serta terbabit dalam pelbagai kegiatan keganasan di Lahad Datu pada 2013.
Abdul Gani dilahirkan pada 6 Okt 1955 dan memulakan kerjaya dalam bidang kehakiman pada 1980. Beliau kemudian berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara, Tawau, Sabah, serta menjadi rakyat Sabah pertama memegang jawatan itu selepas pejabat Peguam Negara Persekutuan ditubuhkan di negeri berkenaan.
Beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Pendakwaan Sabah pada 1991, sebelum mengetuai Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara dari 16 Jan hingga 14 Okt 1994. Dari 1 April 1995 hingga 31 Mei 1997, beliau pula menjadi Ketua dan Penasihat Bahagian Antarabangsa.
Selepas berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang dari 1997 hingga 2000, Abdul Gani kembali menerajui Bahagian Pendakwaan pada 1 Feb 2000. Beliau dilantik sebagai Peguam Negara kelapan pada 19 Nov 2001 dan secara rasmi mula memegang jawatan itu pada 1 Jan 2002.
Pelantikan tersebut menjadikannya graduan undang-undang tempatan pertama yang memegang jawatan Peguam Negara serta rakyat Sabah pertama yang menjawat antara kedudukan tertinggi dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan. Perkhidmatannya sebagai Peguam Negara ditamatkan berkuat kuasa 27 Julai 2015 atas faktor kesihatan, namun beliau terus berkhidmat sebagai pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan hingga mencapai umur persaraan wajib pada 6 Okt 2015.
Selepas itu, Abdul Gani menyumbang kepakaran melalui beberapa tanggungjawab, termasuk sebagai ahli Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Beliau juga dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) selama dua tahun bermula 1 Oktober 2011, selain pernah menjadi Pengerusi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Pada 23 Dis 2016, beliau diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya.