Pelantikan eksekutif, juruaudit halal wajar dikaji menyeluruh
SHAH ALAM - Cadangan mewajibkan pelantikan eksekutif dan juruaudit halal bagi syarikat dalam industri makanan boleh dipertimbangkan bagi mengelakkan kontroversi pusat penyembelihan ayam yang tidak mematuhi syarak berulang, kata Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Industri Halal, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Nurzahidah Jaapar.
Beliau berkata, cadangan itu wajar dikaji secara menyeluruh bagi memperkukuh integriti serta pematuhan terhadap standard halal negara. Namun, katanya, belum terdapat asas yang mencukupi untuk mewajibkan kedua-dua jawatan berkenaan kepada semua syarikat secara menyeluruh.
Menurut Nurzahidah, Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 telah menetapkan keperluan pelantikan pegawai berkaitan berdasarkan skim dan saiz industri.
Bagi skim rumah sembelihan, pengusaha bersaiz besar dan sederhana perlu melantik Eksekutif Halal di setiap cawangan, manakala pengusaha kecil perlu melantik Penyelia Halal. Kedua-dua kategori juga perlu menyediakan pemeriksa halal sepanjang operasi atau syif.
“Justeru, saya melihat cadangan itu relevan, tetapi belum terdapat asas yang cukup untuk mewajibkan kedua-dua jawatan berkenaan secara menyeluruh,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebuah syarikat pembekal ayam, pengarahnya dan dua individu lain didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membuat perakuan palsu kepada orang ramai berhubung status halal produk.
Syarikat Ayam Segar BM (M) Sdn Bhd, pengarahnya, Zarifah Karim dan Tanjena Akter Mollah, serta pengurus, Hossain Saddam, masing-masing didakwa mengikut Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011. Abdul Rahim Ariff Ali pula dituduh bersubahat dengan syarikat itu dan tiga individu berkenaan dalam melakukan kesalahan tersebut.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Industri Halal, ACIS, UiTM Shah Alam, Dr Nur Farhani Zarmani berkata, eksekutif halal dan juruaudit halal mempunyai fungsi berlainan, tetapi saling melengkapi dalam memastikan pematuhan standard halal.
Beliau berkata, eksekutif halal memantau operasi harian dan boleh mengambil tindakan segera apabila berlaku ketidakpatuhan. Juruaudit pula menyemak keberkesanan prosedur serta memastikan setiap keputusan direkodkan dengan betul.
“Bayangkan lori sudah menunggu tetapi rekod sembelihan belum dapat disahkan. Syarikat perlu tahu siapa yang boleh menahan penghantaran ketika itu, manakala juruaudit pula menyemak sama ada keputusan itu dibuat dan direkodkan dengan betul,” katanya.
Menurut Nur Farhani, pegawai tetap boleh bertindak segera kerana berada dekat dengan operasi, manakala juruaudit luar mampu memberikan semakan lebih bebas, tetapi hanya dapat melihat operasi pada waktu tertentu.
Beliau berkata, Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020 turut membenarkan pihak ketiga yang berkelayakan menjalankan audit dalaman apabila diperlukan. Sebelum mewajibkan setiap syarikat mempunyai juruaudit halal tetap, kerajaan perlu mengenal pasti masalah sebenar yang hendak ditangani serta menetapkan mekanisme untuk memastikan setiap penemuan audit diambil tindakan.
Nur Farhani berpandangan pendekatan dasar lebih menyeluruh wajar dipertimbangkan, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira risiko dalam keseluruhan rantaian bekalan makanan.
Katanya, jika pemeriksaan hanya dibuat ketika permohonan atau pembaharuan sijil, syarikat yang sudah berada dalam sistem mungkin terus diperiksa, sedangkan premis di luar sistem berisiko tidak dipantau.
Beliau berkata, saiz syarikat sahaja tidak mencukupi untuk mengukur kesannya kepada pengguna. Rumah sembelihan kecil, misalnya, boleh membekalkan ayam kepada puluhan kedai.
“Kerajaan boleh menguji beberapa pilihan dalam rantaian bekalan ayam terlebih dahulu, termasuk pelantikan pegawai, pemeriksaan premis dan semakan sumber oleh pembeli,” katanya.
Antara langkah pencegahan yang dicadangkan ialah memastikan pemborong menyemak status premis sembelihan dan kesahihan sijil sebelum menerima bekalan sebagai produk halal.
Rekod invois orang tengah juga perlu dipadankan dengan rekod penghantaran supaya sumber bekalan dapat dikenal pasti dengan jelas, katanya.
Selain itu, pihak berkuasa halal, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu memperkukuh kerjasama dengan menggunakan rekod pembelian untuk mengenal pasti premis yang perlu diperiksa.
Nur Farhani turut mencadangkan audit menguji satu penghantaran sebenar bagi memastikan syarikat dapat menunjukkan lokasi penyembelihan, individu yang meluluskan penghantaran serta pihak yang berkuasa menahannya jika berlaku percanggahan rekod.
“Jika syarikat hanya boleh menjawab selepas ayam sampai ke kedai, semakan itu berlaku terlalu lewat untuk melindungi pembeli,” katanya, sambil menyatakan pendekatan itu selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 16 yang menekankan kepentingan institusi berkesan dan bertanggungjawab.