Kadar keciciran murid Orang Asli turun kepada 1.42%

Sumber: Free Malaysia Today
Kadar keciciran murid Orang Asli turun kepada 1.42%
Gambar: Free Malaysia Today

PETALING JAYA: Kadar keciciran persekolahan dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli turun kepada 1.42% setakat 31 Ogos tahun ini, berbanding lebih 10% pada 2022, menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Fadhlina berkata kadar itu ialah 2.91% pada 2024 sebelum menurun kepada 2.78% tahun lalu. Beliau menjawab soalan Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) mengenai jumlah murid Orang Asli yang tercicir dari 2024 hingga 2026.

Beliau berkata kementerian menyedari murid Orang Asli berdepan cabaran geografi kerana lokasi sekolah yang jauh menyukarkan mereka mendapatkan akses kepada kemudahan pendidikan. Menurutnya, usaha menangani keciciran tidak boleh hanya bergantung pada intervensi akademik.

“Kementerian akan terus memperkukuh pemantauan (terhadap murid Orang Asli), mengoptimumkan kemudahan asrama (bagi mengatasi cabaran geografi), serta melaksanakan langkah intervensi bersesuaian mengikut keperluan setempat,” katanya.

Fadhlina berkata matlamat kementerian adalah memastikan latar belakang, tempat tinggal dan kekangan geografi seseorang kanak-kanak tidak menghalang mereka daripada mendapat pendidikan berkualiti dan menamatkan persekolahan.

Pada 2022, Menteri Pembangunan Luar Bandar ketika itu, Mahdzir Khalid, berkata lebih 10% kanak-kanak Orang Asli tercicir akibat masalah logistik dan keluarga, selain sikap negatif terhadap pendidikan.

Terdapat juga pengalaman yang dikongsi murid Orang Asli mengenai buli perkauman oleh murid lain. Aktivis berkata perkara itu turut menyumbang kepada kadar keciciran.