SAR cari lelaki dihanyutkan arus deras di Sungai Batu 9 Cheras
KUALA LUMPUR – Pasukan penyelamat memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dihanyutkan arus deras di sebatang sungai di Kampung Sungai Raya, Batu 9 Cheras, Selangor, kira-kira 6.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki itu pada mulanya dilihat berpaut pada ranting di tebing sungai sambil meminta pertolongan. Dia kemudian dihanyutkan arus deras dan hilang daripada pandangan.
Menurut Naazron, polis menerima laporan mengenai seorang lelaki tidak dikenali yang dipercayai berusia lingkungan 40-an dihanyutkan arus di sungai berhampiran Lot 3250C. Pasukan SAR melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.32 petang semalam. Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tun Hussien Onn kemudian dihantar ke lokasi.
Dua pasukan SAR menjalankan pencarian di kawasan tebing sungai sepanjang kira-kira lima kilometer. Pasukan bantuan dari BBP Kajang pula melakukan pencarian di kawasan perangkap sampah Batu 10 Cheras.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan ahli keluarga diminta membantu polis mengesan mangsa. Maklumat boleh disalurkan kepada Sarjan Muhamad Faizal Arif menerusi talian 012-7812 843.