Kuching City bantu Malaysia pintas Australia dalam ranking AFC

Sumber: Harian Metro
Kuching City bantu Malaysia pintas Australia dalam ranking AFC
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Kemenangan 3-0 Kuching City FC ke atas Phnom Penh Crown dari Kemboja dalam Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) melonjakkan Malaysia ke tangga keempat ranking Ahli Gabungan (MA) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) zon Timur.

Kejayaan itu bukan sahaja memberikan Kuching City tiga mata penuh dan kemenangan kedua di pentas benua, malah membolehkan Malaysia memintas Australia dalam kedudukan ranking berkenaan.

Berdasarkan kemas kini semasa, Malaysia mengumpul 47.142 mata, manakala Australia turun ke tangga kelima dengan 46.966 mata. Jika Malaysia dapat mengekalkan kedudukan keempat itu sehingga musim depan, negara bakal memperoleh satu lagi slot automatik ke saingan Asia bermula musim 2028/29.

Perubahan kuota itu akan membolehkan dua wakil Malaysia menerima tiket terus ke Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE). Bagi musim ini dan musim depan, peruntukan negara ialah satu slot ke ACLE dan satu lagi ke ACL2.

Dengan kuota ACL2 tidak berubah, Malaysia berpeluang menghantar sehingga tiga wakil kelab tempatan ke pertandingan benua pada musim 2028/29.

Bagaimanapun, kedudukan semasa belum menjamin perubahan berkenaan. Ia bergantung pada konsistensi dua wakil negara, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam ACLE dan Kuching City dalam ACL2, sepanjang dua musim ini.

Lebih banyak kemenangan serta kemaraan lebih jauh kedua-dua kelab dalam kempen masing-masing dapat menyumbang mata ranking MA untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia.

Jepun mendahului zon Timur dengan 112.174 mata, sekali gus memperoleh tiga slot automatik dan dua slot play-off ke ACLE serta satu slot ACL2. Korea Selatan di tempat kedua dengan 79.637 mata, dengan tiga slot automatik dan satu slot play-off ke ACLE selain satu slot ACL2.

Thailand pula berada di tangga ketiga dengan 56.197 mata, kedudukan yang memberikan negara itu tiga slot automatik ke ACLE dan satu slot ke ACL2.