Daqmie mohon sumbangan RM30,000 untuk teruskan pengajian PhD

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Daqmie, memohon sumbangan orang ramai dan peminat bagi membantu menampung yuran serta keperluan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengurusan industri kreatif warisan budaya di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Rayuan itu dikongsikan menerusi hantaran di media sosialnya. Daqmie, atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manap, 55, berkata beliau kini berada dalam semester kedua daripada empat semester yang perlu diselesaikan.
Beliau turut memaklumkan akan mempertahankan tajuk penyelidikannya atau Proposal Defence pada hujung tahun ini. Menurutnya, hasrat melanjutkan pengajian bukan semata-mata untuk memperoleh gelaran akademik, tetapi juga bagi menyumbang kepada pembangunan ilmu dalam pengurusan industri kreatif dan pemeliharaan warisan budaya.
“Sebagai seorang yang telah melalui perjalanan panjang dalam industri muzik, seni persembahan dan penerbitan kreatif, saya percaya pengalaman penggiat seni perlu didokumentasikan, dikaji dan diterjemahkan menjadi ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh generasi akan datang,” katanya.
Daqmie berkata, beliau memerlukan dana tambahan sebanyak RM30,000 bagi menampung pengajian dan keperluan akademik, penyelidikan serta kerja lapangan. Dana itu juga akan digunakan untuk penyediaan dan penerbitan artikel jurnal akademik, pembentangan kertas penyelidikan serta penyertaan dalam persidangan akademik, termasuk kos perjalanan dan pendaftaran.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam atas nama Azmee Abdul Manap, bernombor 12038025518167. Daqmie berkata, sesiapa sahaja boleh menyumbang dan tiada jumlah minimum ditetapkan.
“Tidak kira besar atau kecil sumbangan anda. RM10, RM50, RM100 atau apa sahaja jumlah yang diizinkan Allah, semuanya amat saya hargai,” katanya.
Beliau turut memberikan contoh bahawa sumbangan RM100 daripada 300 orang dapat mengumpulkan jumlah RM30,000 yang diperlukan. Daqmie berharap sumbangan itu menjadi sebahagian daripada amal kebaikan dan saham ilmu yang berpanjangan.