Myanmar enggan patuhi bahagian keputusan ICJ yang dianggap tidak sesuai

Sumber: Astro Awani
Myanmar enggan patuhi bahagian keputusan ICJ yang dianggap tidak sesuai
Gambar: Astro Awani

NAYPYIDAW: Myanmar tidak akan mematuhi beberapa bahagian keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kes genosid terhadap etnik Rohingya yang dianggap “tidak sesuai”, menurut pemimpin negara itu, Min Aung Hlaing.

Laporan BBC memetik Min Aung Hlaing sebagai berkata keputusan berkenaan menjejaskan reputasi Myanmar. Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan bahagian keputusan yang dibantah kerajaan.

Minggu lalu, ICJ memutuskan Myanmar melanggar Konvensyen Genosid 1948 berikutan operasi ketenteraan di negeri Rakhine pada 2017. Operasi itu mengorbankan ribuan etnik Rohingya dan menyebabkan lebih 700,000 penduduk melarikan diri ke Bangladesh.

Kes itu difailkan Gambia pada 2019 dan tertumpu pada operasi ketenteraan terhadap komuniti Rohingya di Rakhine. Mahkamah mendapati kira-kira 10,000 etnik Rohingya terbunuh, manakala sekitar 815,000 orang menjadi sasaran pelbagai bentuk pencabulan.

Keputusan itu diluluskan dengan undian sembilan hakim menyokong dan enam menentang, serta tidak boleh dirayu. ICJ turut mengarahkan Myanmar membayar pampasan yang jumlahnya akan ditentukan kemudian, menghentikan pelanggaran yang masih berlaku dan menyiasat individu yang disyaki melanggar Konvensyen Genosid.

Bagaimanapun, mahkamah itu tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan keputusannya. Pelaksanaannya bergantung pada tekanan diplomatik dan tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menurut BBC, keputusan tersebut disambut baik komuniti Rohingya dan pertubuhan hak asasi manusia yang sekian lama menuntut keadilan atas penderitaan etnik berkenaan.

Myanmar berdepan perang saudara sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang dipimpin Min Aung Hlaing bagi menggulingkan kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi. Negara itu turut berdepan tekanan dan sekatan antarabangsa yang berterusan.