MCMC serahkan saman terhadap Google kepada peguam syarikat di Malaysia

KULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyampaikan saman terhadap Google kepada peguam syarikat itu di Malaysia berhubung dakwaan kegagalan menangani kandungan berbahaya di YouTube, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Teo berkata saman itu ialah tindakan undang-undang pertama MCMC terhadap Google, walaupun suruhanjaya berkenaan pernah mengambil tindakan undang-undang terhadap Telegram. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri satu program di SK Murni Jaya di sini hari ini.
Menurut Teo, sistem penapisan kandungan YouTube yang lemah menyebabkan MCMC terpaksa menggunakan kakitangannya sendiri untuk memantau dan melaporkan kandungan perjudian dalam talian. Katanya, Google sepatutnya mempunyai pasukan sendiri untuk mengendalikan tugas itu.
MCMC memaklumkan sebanyak 74,703 laporan dihantar kepada YouTube antara 1 Januari hingga 28 Oktober. Daripada jumlah itu, 74,569 laporan, atau 99.8 peratus, berkaitan perjudian dalam talian.
Pada 25 November, MCMC mengumumkan telah memfailkan dua saman terhadap Google dan menuntut ganti rugi keseluruhan RM600 juta. Saman pertama mendakwa Google gagal mengambil langkah munasabah untuk menangani kandungan berbahaya, termasuk perjudian dalam talian dan penipuan.
Saman kedua berkaitan penerbitan semula kandungan oleh blogger Papagomo yang didakwa melanggar undang-undang. MCMC menuntut RM300 juta bagi setiap saman, merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan.