Tempoh lantikan ketua kampung, ahli majlis Johor dicadang dipendekkan kepada setahun

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor bercadang memendekkan tempoh lantikan ketua kampung dan ahli majlis tempatan daripada dua tahun kepada satu tahun, dengan pelantikan semula bergantung pada pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI). Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata cadangan itu bertujuan memperkukuh akauntabiliti serta memastikan pemimpin masyarakat sentiasa peka terhadap keperluan penduduk.
Beliau berkata prestasi mereka akan dinilai berdasarkan penglibatan dengan penduduk, tempoh masa menangani aduan awam dan keberkesanan tindakan susulan terhadap isu yang dibangkitkan. KPI turut merangkumi kekerapan turun padang.
“Mana-mana ketua kampung atau ahli majlis yang gagal mencapai KPI ditetapkan selepas setahun tidak akan diperbaharui pelantikannya,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Johor 2027 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
Onn Hafiz berkata semua individu yang dilantik perlu menandatangani aku janji untuk mematuhi keperluan KPI ketika menerima pelantikan masing-masing.
Beliau berkata kepimpinan seharusnya diukur berdasarkan hasil kerja dan keupayaan menyelesaikan aduan orang ramai, bukannya bilangan mesyuarat yang diadakan. Katanya, ukuran kejayaan ialah jumlah masalah penduduk yang dapat diselesaikan.
“Jawatan ialah amanah, kuasa datang bersama tanggungjawab, dan berkhidmat kepada rakyat ialah satu penghormatan,” katanya.
Kerajaan negeri, katanya, mengharapkan pemimpin di setiap peringkat terus meningkatkan prestasi, menangani kelemahan dan memberikan hasil yang nyata.