Malaysia lancar pusat latihan perancah OSTS pertama di Asia Tenggara

Sumber: Astro Awani
Malaysia lancar pusat latihan perancah OSTS pertama di Asia Tenggara
Gambar: Astro Awani

BANGI: MKRS Training Institute dilancarkan secara rasmi sebagai pusat latihan Overseas Scaffolder Training Scheme (OSTS) pertama di Asia Tenggara yang mendapat kelulusan badan profesional antarabangsa dari United Kingdom.

Pusat yang beroperasi di bawah MKRS Bumi (M) Sdn Bhd itu diluluskan oleh National Access & Scaffolding Confederation (NASC) dan Construction Industry Scaffolders Record Scheme (CISRS).

Pelancaran itu menandakan usaha memperkukuh pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, selain meningkatkan pematuhan industri kepada piawaian keselamatan dan kompetensi profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pusat latihan berkenaan dijangka menyediakan platform bagi latihan teknikal, pembangunan kompetensi dan pensijilan profesional dalam industri perancah untuk penggiat industri di Malaysia serta negara-negara Asia Tenggara.

Penubuhannya turut memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysian Occupational Scaffolding Association (MOSA), NASC dan CISRS bagi meningkatkan standard industri perancah negara. Menurut MOSA, pusat itu merupakan pelaburan strategik dalam pendidikan teknikal dan latihan profesional yang dapat memenuhi keperluan industri global.

Selain menawarkan latihan berasaskan standard antarabangsa, pusat berkenaan dijangka membantu membentuk tenaga kerja tempatan yang lebih kompeten dan berdaya saing di pasaran antarabangsa.

Majlis pelancaran turut menyaksikan kejayaan program sulung Train-the-Trainer dan Lead Auditor, hasil kerjasama MOSA dengan NASC dan CISRS. Seramai 10 peserta menamatkan program Train-the-Trainer, manakala lima lagi memperoleh kelayakan melalui program Lead Auditor.

Kedua-dua program itu bertujuan melahirkan tenaga pengajar dan penilai kompetensi tempatan. Vatsala Vijayan turut mencipta sejarah sebagai wanita pertama di Malaysia memperoleh pensijilan antarabangsa menerusi program berkenaan.

Peserta yang berjaya menerima kad kompetensi CISRS sebagai pengiktirafan terhadap keupayaan teknikal dan profesional mereka dalam industri perancah.

MOSA, yang ditubuhkan pada 2010, memainkan peranan dalam memperkukuh industri berkenaan menerusi kerjasama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Usaha itu termasuk menyokong pembangunan piawaian Malaysian Standard MS 1462 dan Construction Industry Standards (CIS).

Menerusi kerjasama dengan NASC dan CISRS, MOSA berhasrat meletakkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan serantau bagi pembangunan kompetensi industri perancah serta membuka peluang kepada pekerja tempatan memperoleh pengiktirafan antarabangsa.

Inisiatif itu juga disifatkan sebagai langkah awal meneroka peluang industri di pasaran global, termasuk Arab Saudi, yang menyaksikan pertumbuhan pesat sektor pembinaan dan infrastruktur. MOSA dan MKRS Bumi menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh standard profesional, mempromosikan amalan kerja lebih selamat dan membangunkan tenaga kerja berkompetensi tinggi melalui kerjasama berterusan dengan pihak kawal selia dan industri.