Sempat minta maaf kepada dua adik selepas kemalangan

Sumber: Sinar Harian

PASIR MAS - Muhammad Saiful Haikal Saiful Nizam, 18, sempat meminta maaf kepada dua adiknya selepas melihat mereka berlumuran darah dan dalam keadaan kritikal susulan kemalangan motosikal di Kampung Bechah, Tendong, pada Khamis.

“Saya sempat minta maaf pada mereka di atas apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung pada Jumaat.

Mengimbas kejadian itu, Muhammad Saiful Haikal berkata, dia menahan kesakitan untuk menghampiri adiknya, Muhammad Saiful Haider, 10, dan Muhammad Saiful Hayyan, 6, bagi melihat keadaan mereka.

Dia berkata, pandangannya tiba-tiba kabur ketika kejadian dan hanya sedar selepas mereka tercampak jauh dari motosikal. Muhammad Saiful Haikal turut mengalami patah ibu jari kaki kanan dalam kemalangan itu.

“Semasa kejadian, saya hanya ingat ketika itu pandangan tiba-tiba menjadi kabur. Apabila sedar kami sudah terpelanting jauh dari motosikal,” katanya.

Muhammad Saiful Haikal menunggang motosikal itu, manakala kedua-dua adiknya membonceng. Dia kini dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Dua beradik itu maut selepas motosikal yang dinaiki dipercayai terbabas, bergesel dengan tiang lampu dan melanggar lubang di tepi jalan. Muhammad Saiful Haider disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Muhammad Saiful Hayyan menghembuskan nafas terakhir di HRPZ II.

Muhammad Saiful Haikal hadir di tanah perkuburan untuk memberi penghormatan terakhir kepada adik-adiknya. Dia dilihat berkerusi roda akibat kecederaan yang dialaminya.