Macron kecam Le Pen berhubung desakan memuktamadkan bajet EU

BRUSSELS: Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Khamis membidas pemimpin sayap kanan Marine Le Pen di Brussels, dengan menuduhnya angkuh selepas beliau mengkritik usaha memuktamadkan bajet Kesatuan Eropah (EU) seterusnya sebelum pilihan raya Perancis tahun depan.
Pemimpin EU sedang mengadakan rundingan sidang kemuncak di ibu negara Belgium itu bagi mencapai persetujuan pada Disember mengenai bajet blok berkenaan bagi tempoh 2028 hingga 2034. Mereka mahu mengelakkan rundingan tegang berlanjutan ke tahun yang menyaksikan pilihan raya di seluruh Eropah, khususnya di Perancis.
Macron meningkatkan tekanan sehari sebelumnya apabila mengancam untuk berundur jika tiada persetujuan dicapai sebelum 2027. Kenyataan itu mendorong Le Pen membalas dengan menyatakan bahawa pemimpin negara sepatutnya menumpukan perhatian kepada keadaan Perancis.
“Negara kita berada di ambang kemungkiran dan pergolakan sosial. Pemimpin kita sepatutnya menumpukan perhatian untuk membetulkan keadaan, bukannya menggunakan muslihat politik secara tersembunyi bagi menghalang kehendak demokratik rakyat Perancis,” tulis Le Pen di X.
Le Pen, yang mendahului calon lain untuk memenangi pilihan raya presiden akan datang, membuat kenyataan itu beberapa jam sebelum Macron mengulas mengenai beliau di luar sidang kemuncak.
“Adalah satu bentuk keangkuhan yang pelik untuk bertindak seolah-olah beliau sudah bertanggungjawab menentukan hala tuju Perancis, sedangkan setakat ini beliau belum dipilih,” kata Macron.
Pertikaian mengenai bajet itu bukan kali pertama mencetuskan pertembungan antara kedua-duanya. Bulan lalu, Macron menyindir Le Pen dan menyuruhnya supaya “merendah diri” selepas pemimpin itu mengemukakan rancangan untuk mengurangkan bantuan Perancis kepada Ukraine serta sumbangannya kepada EU.
Pilihan raya Perancis turut menjadi perhatian utama dalam perbincangan pemimpin EU. Seorang diplomat kanan Eropah menyifatkan pilihan raya itu sebagai kebimbangan utama, dengan prospek kemenangan Le Pen dan kesannya sentiasa difikirkan oleh para pemimpin.
Namun, beberapa pemimpin menolak pandangan bahawa pilihan raya itu menjadi alasan untuk menetapkan tarikh akhir rundingan. Canselor Austria Christian Stocker berkata beliau “tentunya tidak takut” dengan pilihan raya di Perancis, manakala Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni berkata beliau tidak berdepan “tarikh akhir yang ketat” untuk mencapai persetujuan.
Presiden Majlis Eropah Antonio Costa menggesa pemimpin menyertai perbincangan bajet dengan fikiran terbuka, pendekatan membina dan kesediaan untuk berkompromi. Beliau menggesa persetujuan dicapai menjelang akhir tahun ini.
Jerman, yang antara negara berpengaruh dalam rundingan, mendesak pengurangan perbelanjaan selain perkongsian beban bagi pembiayaan Ukraine. Pemimpin EU telah menghabiskan hampir sepanjang 2026 berbalah mengenai saiz bajet 2028-2034 selepas Suruhanjaya Eropah mencadangkan pelan perbelanjaan dua trilion euro yang tidak dipersetujui kebanyakan ibu negara.
Rundingan yang sudah rumit itu menjadi lebih sukar selepas Canselor Jerman Friedrich Merz mengaitkan penyelesaian bajet dengan persetujuan semua 27 negara EU mengenai pembiayaan Ukraine. Negara anggota diminta menyokong pinjaman tambahan 45 bilion euro (AS$49 bilion) bagi memastikan Ukraine terus menerima pembiayaan hingga 2027.
Prague, Budapest dan Bratislava mahu dikecualikan daripada pinjaman itu. Ketiga-tiga negara berkenaan sebelum ini memilih untuk tidak menyertai pinjaman besar serupa pada tahun lalu dan lazimnya merupakan penerima bersih dana Eropah.
Merz berkata pengecualian itu tidak boleh diterima, sambil menegaskan: “Kesatuan Eropah terdiri daripada 27 negara, bukan 23 atau 24.” Pemimpin Czech Andrej Babis pula berikrar untuk “berjuang” mendapatkan dana EU dan berkata pembiayaan Ukraine perlu ditangani secara berasingan.
Dalam perdebatan mengenai saiz bajet, kumpulan negara EU yang digelar “berhemat”, termasuk Jerman dan Belanda, mahukan tabung perbelanjaan lebih kecil. Kumpulan itu sedang berusaha menggunakan nama baharu “Sensible Seven”.
Perancis pula mahukan lebih banyak dana untuk petani dan menegaskan Eropah memerlukan pembiayaan lebih besar bagi menangani cabaran yang semakin meningkat. Sementara itu, 17 negara di selatan, tengah dan timur Eropah dalam kumpulan “Friends of Cohesion” mendesak peruntukan lebih besar untuk pertanian dan pembangunan wilayah.
Cadangan terbaharu Costa bertujuan merapatkan perbezaan dengan mengurangkan bajet sebanyak 204 bilion euro serta mencadangkan cukai terhadap syarikat digital. Bagaimanapun, cadangan pemotongan itu menimbulkan bantahan dalam kalangan pemimpin blok berkenaan.
“Eropah yang murah boleh menjadi kesilapan yang sangat mahal. Keselamatan ada harganya,” kata Perdana Menteri Poland Donald Tusk di X.
Ratusan petani turut mengadakan demonstrasi di Brussels bagi membantah pemotongan subsidi pertanian. Mereka, yang biasa mengadakan protes ketika mesyuarat pemimpin berlangsung, memberi amaran bahawa demonstrasi lebih besar akan diadakan semasa sidang kemuncak Disember.