Kembalinya Huang cetus gelombang video parodi AI

WASHINGTON: Kepulangan Jensen Huang sebagai ketua eksekutif Nvidia mencetuskan gelombang baharu video parodi yang dijana kecerdasan buatan (AI) di media sosial, susulan skandal hubungan sulit dan dakwaan pengintipan yang membabitkan beliau.
Video hiperrealistik itu menggambarkan Huang dalam pelbagai situasi rekaan, daripada kisah samseng ala Bollywood hingga persembahan nyanyian dan tarian. Ada juga klip yang memaparkan beliau bersama wanita yang disyaki sebagai pengintip China. Kandungan berkenaan meraih jutaan tontonan dan kebanyakannya mengundang hiburan pengguna media sosial.
Huang sebelum ini meletak jawatan secara mengejut selepas pendedahan mengenai hubungan sulitnya, termasuk dengan wanita berkenaan. Beliau kembali menerajui syarikat cip itu selepas campur tangan luar biasa Presiden Donald Trump. Pengembalian semula Huang ke jawatan itu turut mencetuskan kritikan terhadap Nvidia, termasuk daripada anggota Kongres Amerika Syarikat, serta desakan supaya lembaga pengarah syarikat meletak jawatan.
Nvidia berkata Huang dikembalikan ke jawatan itu selepas syarikat menerima maklumat daripada kerajaan Amerika Syarikat bahawa beliau tidak menimbulkan risiko keselamatan negara.
Gelombang parodi terbaharu itu tersebar di beberapa platform media sosial, termasuk X milik Elon Musk. Satu klip menunjukkan Huang menggantikan bekas diktator Iraq, Saddam Hussein, dalam rakaman terkenal mengenai pembersihan yang benar-benar berlaku. Dalam video rekaan itu, Huang menghisap cerut sambil menyebut nama orang yang didakwa pengkhianat di sebuah dewan yang dipenuhi orang ramai.
Satu lagi hantaran di X memaparkan Huang bangkit secara dramatik dari dalam keranda dengan kapsyen, “Sudah tiba masanya untuk membalas dendam.” Dalam video lain, beliau memakai jaket kulit hitam yang sinonim dengannya dan melompat ke pentas ketika mercun meletup. Orang ramai, termasuk beberapa eksekutif teknologi sebenar, digambarkan bersorak dalam suasana meriah. Kapsyen video itu berbunyi, “Raja sudah kembali.”
Penyebaran klip sedemikian menunjukkan bagaimana alat AI kreatif membolehkan pengguna biasa menghasilkan gambaran hampir apa sahaja, sama ada untuk menarik perhatian atau sekadar hiburan. Joshua Tucker, pengarah bersama Pusat Media Sosial, AI dan Politik Universiti New York, berkata deepfake memang digunakan untuk menyebarkan maklumat palsu, termasuk yang berkaitan politik. Namun, katanya, AI juga digunakan untuk menghasilkan kandungan kreatif yang tidak bertujuan memperdaya orang ramai.
“Ahli politik yang memakai jubah dan terbang bukan bertujuan meyakinkan orang bahawa ahli politik itu benar-benar boleh terbang,” katanya kepada AFP. “Sebaliknya, ia bertujuan menembusi pasaran perhatian dan mencapai pengundi.”
Penghasilan meme dan parodi itu turut menimbulkan ironi kerana Huang menjadi subjek kandungan AI, sedangkan Nvidia merupakan antara syarikat yang membolehkan banyak ciptaan AI dihasilkan. Satu komen di Instagram menyifatkan skandal itu secara berseloroh sebagai cara Huang menjadikan Nvidia lebih kaya melalui meme AI yang dihasilkannya.
Bagaimanapun, bukan semua kandungan palsu yang menggunakan AI bertujuan mencetuskan ketawa. Pengguna media sosial secara tidak benar mendakwa bekas ketua eksekutif sementara Nvidia, Colette Kress, menyeru boikot terhadap syarikat itu yang diterajui wanita susulan Huang kembali memegang jawatan. Menurut badan pemantau maklumat salah NewsGuard, dakwaan itu muncul dalam hantaran di X daripada akaun yang berpangkalan di Nigeria.