Tiada manifesto bersama jejas penilaian prestasi Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Ketiadaan manifesto bersama yang menetapkan hala tuju dan sasaran Kerajaan Perpaduan menyukarkan rakyat menilai prestasi pentadbiran secara objektif sejak kerajaan itu dibentuk pada November 2022.
Penganalisis Politik merangkap Konsultan Kanan Asia Global Consulting, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, perbezaan ideologi dan aspirasi parti-parti yang membentuk kerajaan seharusnya ditangani dengan mengenal pasti persamaan untuk dijadikan kerangka pentadbiran bersama.
Beliau berkata, ketua-ketua parti dalam kerajaan perlu menjelaskan perbezaan pendirian masing-masing dan mengenal pasti titik pertemuan yang boleh dijadikan panduan kepada rakyat. Tanpa garis panduan itu, katanya, rakyat sukar menentukan janji yang akan dilaksanakan.
“Rakyat menilai apa yang pernah dijanjikan 10 tahun dahulu, 20 tahun dahulu kerana tidak ada sesuatu pun yang diberikan garis panduan kepada rakyat, ini yang kita akan laksanakan,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022, apabila tiada gabungan politik memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Pada 16 Disember 2022, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) memeterai Perjanjian Persefahaman Kerjasama. Perjanjian itu bertujuan menjamin kestabilan politik, memacu ekonomi dan memperkukuh kerjasama dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Prof. Madya Dr. Yusri Ibrahim berkata, perjanjian persefahaman antara parti-parti kerajaan tidak menggantikan keperluan manifesto bersama. Ketiadaan manifesto itu menyebabkan penilaian rakyat masih berasaskan janji politik terdahulu.
Menurut beliau, keadaan berkenaan turut meletakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di bawah tuntutan untuk menunaikan janji yang dibuat sebelum Kerajaan Perpaduan dibentuk.
“Manifesto pasca pembentukan itu tidak ada. Akhirnya penilaian awam pergi kepada kepelbagaian dan akhir sekali siapa yang mengetuai kerajaan? Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata, Anwar berdepan tuntutan terhadap pelbagai janji terdahulu, malah ada yang diminta dilaksanakan dalam tempoh empat tahun.