Tiada peruntukan khas kerajaan untuk PIBG, kata Fadhlina

Sumber: Harian Metro
Tiada peruntukan khas kerajaan untuk PIBG, kata Fadhlina
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Kerajaan setakat ini tidak meluluskan peruntukan khusus kepada Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai dana khas untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah bawah kementerian itu, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, peruntukan tahunan kerajaan kepada KPM pada asasnya digunakan bagi membiayai pengoperasian sekolah serta pelaksanaan aktiviti murid. Perkara itu dinyatakan dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Fadhlina menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai kesediaan KPM mewujudkan peruntukan khusus tahunan yang disalurkan terus kepada PIBG di setiap sekolah, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau berkata, KPM komited memastikan kemenjadian murid dicapai melalui kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa dan komuniti. PIBG, yang ditubuhkan di bawah Peraturan-peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa-Guru) 1998, katanya, memainkan peranan penting dalam menyokong guru dan pihak sekolah.

Menurutnya, PIBG boleh membantu melalui pelbagai inisiatif, termasuk membiayai kelas tambahan, menyediakan modul latihan dan menyokong aktiviti kokurikulum. Usaha itu dapat membantu meningkatkan prestasi akademik serta sahsiah murid, di samping meringankan beban guru supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP).

PIBG juga boleh membantu menyediakan kemudahan dan prasarana sekolah, termasuk peralatan PdP seperti papan pintar, katanya.

Peranan itu turut disokong inisiatif Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS), yang menggalakkan kerjasama dengan komuniti, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta.

Fadhlina berkata, melalui PIBKS, aspek keselamatan fizikal, psikologi dan digital murid turut diberi perhatian bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan sejahtera.