Kelindan lori dibebaskan daripada tuduhan edar hampir 4kg kanabis

Sumber: Sinar Harian

IPOH - Seorang kelindan lori, S. Madhialagan, 48, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan mengedar 3,947.4 gram kanabis pada 2022.

Hakim Datuk Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Madhialagan didakwa mengedar dadah itu di tepi Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, Kilometer 311.5, Tapah, pada 3 petang, 26 Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta sebatan minimum 12 kali mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.

Dalam penghakimannya, Norsharidah berkata tiga profil asid deoksiribonukleik (DNA) dan empat cap jari individu lain ditemui di bahagian dalam kenderaan berkenaan. Keadaan itu menunjukkan orang lain mempunyai akses terhadap kereta tersebut.

“Dengan terdapatnya kemungkinan akses tersebut, OKT (orang kena tuduh) tidak boleh dikatakan mempunyai sebarang pemilikan eksklusif ke atas bungkusan plastik hitam tersebut,” katanya.

Hakim itu turut menyatakan Madhialagan tidak cuba melarikan diri ketika ditahan. Menurutnya, tindakan itu konsisten dengan tingkah laku individu yang tidak mempunyai pengetahuan, jagaan dan kawalan terhadap dadah berkenaan.

Norsharidah berkata pegawai penyiasat gagal menjelaskan percanggahan antara versi keterangan mengenai lokasi dadah ditemukan dengan kenyataan sidang media polis pada 28 Julai 2022. Bungkusan plastik hitam itu pula tidak mempunyai kesan koyak, pasir atau rumput, sekali gus membuktikan dadah ditemukan di dalam kereta dan bukannya dicampak ke dalam longkang.

Perbicaraan bermula pada 3 Februari hingga 18 September lepas, dengan lapan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hairol Jemain, manakala Madhialagan diwakili peguam Charan Singh Kartar Singh dan Noorfarihah Arshad.