Kampung Makam dan Kampung Dodol dilanda banjir kilat

Sumber: Harian Metro
Kampung Makam dan Kampung Dodol dilanda banjir kilat
Gambar: Harian Metro

GEORGETOWN: Hujan lebat petang tadi menyebabkan banjir kilat di Kampung Makam, manakala kawasan berhampiran Kampung Dodol turut dilaporkan terjejas.

Hujan yang bermula lewat petang itu menyebabkan paras air meningkat dengan pantas sebelum melimpah ke kawasan rendah. Dalam siaran langsung di TikTok, seorang penduduk menunjukkan air di halaman rumahnya meningkat sehingga ke paras betis orang dewasa.

Penduduk itu berkata terdapat kira-kira 20 rumah di Kampung Makam dan beliau sedang memindahkan keretanya ke kawasan lebih tinggi. “Tidak hujan lama pun, tetapi kawasan sekitar kami sudah dinaiki air. Keadaan ini mungkin diburukkan lagi oleh fenomena air pasang besar,” katanya.

Seorang penduduk Kampung Dodol turut melaporkan keadaan sama di kawasan berkenaan menerusi ruangan komen siaran itu. Hujan juga dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di bahagian tanah besar Pulau Pinang.

Setakat ini, tiada pemindahan penduduk dilaporkan. Pihak berkuasa tempatan dan anggota kecemasan sedang memantau keadaan.

Penduduk Pulau Pinang dinasihatkan supaya berwaspada berikutan jangkaan ribut petir dan air pasang besar yang dijangka melanda negeri itu sehingga esok.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah, berkata penduduk perlu sentiasa berwaspada sepanjang Monsun Timur Laut, khususnya mereka yang tinggal di kawasan rendah dan pesisir pantai.