JPJ Johor kesan ‘ulat tiket’ tawar tiket bas ke Kuala Lumpur
JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menahan seorang lelaki yang menawarkan khidmat pembelian tiket bas ke Kuala Lumpur dalam operasi khas di Larkin Sentral, di sini, pada Khamis.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai menghampiri anggota penguat kuasa yang menyamar sebagai penumpang di laluan kaki lima bangunan berkenaan sebelum menawarkan perkhidmatannya.
JPJ Johor memaklumkan, operasi itu dijalankan Pasukan Risikan Operasi (R/O), Bahagian Penguatkuasa, bagi membanteras penjualan tiket bas secara tidak sah yang dikenali sebagai kegiatan ‘ulat tiket’.
Susulan tindakan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 atas kesalahan memujuk dan mendesak.
Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
JPJ Johor berkata pemantauan serta tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan di sekitar Larkin Sentral bagi membanteras kegiatan berkenaan.
Langkah itu bertujuan memastikan tiada pihak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam tanpa kuasa yang sah.