Abdul Gani Patail selamat dikebumikan di Putrajaya

Sumber: Sinar Harian

PUTRAJAYA - Jenazah bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini pada 11.30 pagi ini. Van yang membawa jenazah anak kelahiran Lahad Datu, Sabah itu tiba di tanah perkuburan berkenaan pada 10.50 pagi.

Kira-kira 300 orang hadir memberi penghormatan terakhir, termasuk ahli keluarga dan kenalan daripada pelbagai kaum. Bacaan talkin dipimpin Imam Masjid Mahmoodiah Presint 18, Muhammad Rafuwan Putra Affendi.

Sebelum pengebumian, jenazah Allahyarham dibawa ke Musolla Presint 20 untuk urusan solat jenazah. Solat itu diimamkan oleh Muhammad Rafuwan Putra dan disertai kira-kira 200 jemaah.

Antara yang hadir ialah Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; serta bekas penasihat Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Turut hadir bekas Menteri Pendidikan, Tan Sri Idris Jusoh, dan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Abdul Gani, yang mempunyai sepasang cahaya mata, meninggal dunia pada usia 71 tahun di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, pada 9.15 malam tadi akibat jangkitan. Beliau memegang jawatan Peguam Negara selama 13 tahun, dari 2002 hingga 2015.

Peguam Negara kelapan itu dilahirkan pada 6 Oktober 1955 dan memulakan kerjaya dalam bidang kehakiman pada 1980. Beliau kemudian berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara, Tawau, Sabah.

Abdul Gani ialah rakyat Sabah pertama yang memegang jawatan Peguam Negara selepas pejabat Peguam Negara Persekutuan ditubuhkan di negeri itu. Sepanjang kerjayanya, beliau turut berkhidmat sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Sabah, Ketua Bahagian Pendakwaan dan Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang.

Antara kes berprofil tinggi yang dikendalikannya ialah pendakwaan terhadap 30 individu berhubung insiden pencerobohan di Lahad Datu pada Februari 2013. Beliau juga terlibat dalam pasukan pendakwaan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada 2006.

Allahyarham pernah dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) selama dua tahun bermula 1 Oktober 2011. Beliau juga pernah memegang jawatan Pengerusi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).