Ismail Lasim berkemungkinan kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan

SEREMBAN: Datuk Ismail Lasim berkemungkinan besar kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan meskipun sebelum ini dilaporkan menawarkan peletakan jawatan bagi menamatkan krisis politik dan pentadbiran negeri yang berlarutan hampir empat bulan.
Sumber memaklumkan kedudukan Ismail, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, tidak terjejas. “Ya, saya di maklumkan Datuk Mail (Ismail) kekal sebagai Menteri Besar,” kata sumber itu malam ini.
Petang tadi, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima menghadap Ismail di Istana Hinggap. Selepas itu, baginda menerima menghadap pemimpin kanan UMNO yang diketuai Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata Tuanku Muhriz akan membuat keputusan berhubung krisis pentadbiran negeri itu. Beliau berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak istana untuk mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan yang dicapai. Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi istana mengenai kedudukan Menteri Besar.
Sementara itu, beberapa ADUN dijadual mengangkat sumpah sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) baharu di Istana Seri Menanti, Kuala Pilah, esok. Difahamkan, tujuh ADUN bakal dilantik.
Pentadbiran Ismail beroperasi tanpa EXCO sejak Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 EXCO pada 20 September lalu. Pembatalan itu dibuat susulan tindakan mereka menegaskan bahawa tindakan menyingkirkan baginda pada April lalu adalah sah dan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar ialah pemerintah baharu negeri itu. Pihak istana berpandangan tindakan berkenaan bercanggah dengan sumpah taat setia kepada pemerintah dan institusi diraja.