Onn Hafiz tegaskan institusi Diraja tidak boleh dipolitikkan

Sumber: Harian Metro
Onn Hafiz tegaskan institusi Diraja tidak boleh dipolitikkan
Gambar: Harian Metro

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor menegaskan institusi Diraja tidak boleh dipolitikkan dan setiap keputusan yang dibuat menurut lunas Perlembagaan perlu dihormati, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata perbezaan pandangan tidak boleh dijadikan alasan untuk menderhaka atau menghina institusi Diraja. Pendirian itu disampaikan ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan Johor 2027 pada persidangan DUN Johor di Kota Iskandar, hari ini.

“Pendirian Kerajaan Johor jelas. Kita akan terus mempertahankan kedaulatan institusi Diraja, menghormati Perlembagaan dan menentang apa sahaja bentuk penderhakaan,” katanya.

Onn Hafiz berkata kesetiaan kepada institusi Diraja bukan sekadar adat dan tradisi, malah menjadi asas kepada kestabilan, keharmonian serta kelangsungan pemerintahan negeri dan negara.

“Pemimpin boleh berubah, kerajaan boleh bertukar, tetapi kesetiaan kepada Raja dan negara mesti kita pertahankan,” katanya.

Dalam ucapannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu turut mewakili Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Johor merafak sembah serta menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas limpah perkenan dan kebijaksanaan Baginda menaungi negara serta rakyat.

Beliau juga menzahirkan penghargaan dan menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, atas titah, nasihat dan panduan yang menjadi pedoman kepada pentadbiran negeri.