Jom Bantu tumpu pemuliharaan alam sekitar di Karnival Jom Heboh

KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 pokok hutan tempatan ditanam dan 700 benih ikan lampam dilepaskan ke Tasik Metropolitan Kepong menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Jom Bantu sempena Karnival Jom Heboh 2026 Kuala Lumpur, hari ini.
Pengarah Projek Karnival Jom Heboh, Eileen Lim, berkata inisiatif itu memberi tumpuan kepada pemulihan ekosistem alam sekitar, sekali gus memperluas skop bantuan CSR yang dilaksanakan sempena karnival berkenaan di setiap negeri.
Menurutnya, inisiatif Jom Bantu yang dibawakan Affin Bank sebelum ini menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan, termasuk warga emas dan anak yatim. Bagi penganjuran kali ini, aspek pemeliharaan alam sekitar pula diberi perhatian.
“Jom Bantu adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan setiap kali Karnival Jom Heboh berlangsung di negeri berbeza. Sebelum ini, kita sudah memberi sumbangan kepada warga emas dan anak yatim. Kali ini, giliran alam sekitar pula,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas program CSR Jom Bantu bersama Affin Bank di Taman Tasik Metropolitan Kepong. Eileen turut menzahirkan penghargaan kepada Affin Bank kerana terus bersama menjayakan inisiatif itu.
Program dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berlangsung dari jam 3 petang hingga 5 petang. Selain penanaman pokok dan pelepasan benih ikan, aktiviti pembajaan pokok sedia ada di kawasan taman tasik turut diadakan.
Hadir sama ialah Pengurus, Acara Korporat Kumpulan dan Kolaborasi, Komunikasi Strategik, Affin Bank Berhad, Fatin Atiqa Hassan; Ketua, Jualan Pembiayaan, Affin Bank Berhad, Qamarul Jamly Abdul Jamal; Arkitek landskap Taman Tasik Metropolitan Kepong, Anuar Ahmad; serta wakil Taman Tasik Metropolitan Kepong, Sharifah Dora Syed Mohamad.
Eileen berharap inisiatif itu dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar, selain menggalakkan lebih banyak pihak korporat dan orang ramai menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Kita harap lebih ramai lagi korporat dan orang ramai boleh bersama untuk mengetengahkan apa yang kita boleh selalu ‘give back’. Kita boleh bantu kepada rakyat, ekosistem dan juga alam sekitar,” katanya.