Anwar: Yuran rawatan asas di fasiliti kesihatan awam perlu dikekalkan

Sumber: Harian Metro
Anwar: Yuran rawatan asas di fasiliti kesihatan awam perlu dikekalkan
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Kadar yuran rawatan asas di fasiliti kesihatan awam perlu dikekalkan bagi mengelakkan golongan berpendapatan rendah terbeban, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada program Dialog Negara yang disiarkan malam ini.

Anwar berkata, kerajaan tidak mempunyai asas untuk menaikkan yuran berkenaan kerana kadar kenaikan upah masih tidak sepadan dengan pertumbuhan ekonomi dan kos sara hidup semasa.

“Apa asasnya nak letak RM10? Apa asasnya? Kalau orang itu mampu, okey saya setuju. Orang swasta umpamanya yang mampu, yang pendapatannya tinggi, dia duduk di hospital kerajaan kelas pertama bayarlah lebih...itu mungkin.

“Tetapi untuk membebankan rakyat susah kerana upah itu tidak naik setimpal dengan pertumbuhan ekonomi dan dengan kos walaupun inflasi kita memang rendah, apakah patut kita naikkan cukai ataupun bayaran bagi rakyat biasa? Saya tidak bersedia lakukan,” katanya.

Program itu disiarkan menerusi TV1 dan aplikasi RTMKlik, serta secara serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS. Caj rawatan pesakit luar bersubsidi di hospital dan klinik kesihatan awam di bawah Kementerian Kesihatan kini ditetapkan RM1 bagi rawatan am dan RM5 untuk perkhidmatan pakar.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata sektor kesihatan kekal sebagai penerima peruntukan kedua terbesar dalam Belanjawan MADANI selepas pendidikan. Katanya, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasa kebajikan petugas dan kualiti perkhidmatan kesihatan awam.

Beliau turut berkata kerajaan memutuskan untuk menamatkan sistem pengambilan doktor kontrak bermula 1 Jan 2027. Keputusan itu, katanya, disokong penjimatan berpuluh bilion ringgit hasil penambahbaikan tatakelola serta usaha membanteras rasuah dan ketirisan.

“Bila kita ambil keputusan untuk menamatkan doktor kontrak, itu bermakna kita ada peruntukan baharu. Hentikan kerja kontrak-kontrak tipu ini. Saya istilah sakau orang tak suka….ini memang betul sakau.

“Dia tak tahu kita selamatkan berpuluh bilion ringgit kerana tatakelola yang lebih ketat. (Mereka ini) tak ada runding-runding, sapu RM200 juta hingga RM300 juta bawah karpet. Dia mesti (ada) tender. Wang ini kita pulangkan pada rakyat,” katanya.

Menurut Anwar, penjimatan itu membolehkan kerajaan menyalurkan peruntukan besar kepada rakyat tanpa menaikkan cukai atau mengurangkan subsidi asas. Antaranya ialah RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), RM18 bilion untuk pelarasan gaji penjawat awam serta RM40 bilion bagi mengekalkan subsidi minyak.

Beliau turut menyentuh keperluan menempatkan doktor di kawasan pedalaman dan luar bandar. Anwar juga mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan gaya hidup sihat, termasuk mengurangkan pengambilan gula dan bersenam bagi mengekang peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan obesiti.

Program itu menampilkan Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, Datuk Ahyat Ishak; Pengarah Strategi Kumpulan KRA, Amir Fareed Rahim; Pegawai Perubatan dan pempengaruh media sosial, Dr Malar Santhi Santherasegapan; serta usahawan dan pencipta kandungan digital, Adam Shamil. Turut menjadi panel ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif PlusVibes Group, Dr Madiha Fuad; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal; Pendakwah Bebas, Izzhar Nazri; Pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia, Jason Wee; dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.