India perketat pemantauan industri air berbungkus

India mengarahkan pengawasan lebih ketat terhadap industri air berbungkus menerusi arahan sulit kepada semua negeri, bertarikh 25 Nov, selepas pengawal selia keselamatan makanan negara itu mengumumkan sampel jenama Bisleri didapati tidak selamat.
Arahan daripada Pihak Berkuasa Keselamatan dan Piawaian Makanan India (FSSAI) itu meminta pegawai negeri menjalankan pemeriksaan berkala serta pensampelan berasaskan risiko terhadap air minuman berbungkus dan air mineral. Tindakan sewajarnya juga perlu dimulakan jika syarikat didapati tidak mematuhi peraturan.
FSSAI berkata pengawasan kawal selia dan aktiviti pemantauan serta penguatkuasaan perlu dipertingkat bagi memastikan keselamatan dan kualiti produk. Arahan itu dikeluarkan beberapa hari selepas badan berkenaan menyatakan satu sampel Bisleri, jenama air botol terbesar dan paling dikenali di India, mengandungi bahan kimia yang menurut agensi kesihatan boleh menyebabkan kanser.
Bisleri menegaskan airnya selamat diminum dan hasil ujiannya tidak menemui sebarang masalah. Bagaimanapun, FSSAI secara terbuka menyatakan akan memulakan prosiding pendakwaan terhadap syarikat itu tidak lama lagi berhubung ketidakpatuhan terhadap undang-undang keselamatan makanan.
Pemeriksaan kerajaan yang dipertingkat dijangka melibatkan PepsiCo, Tata Consumer, Coca-Cola dan Reliance Consumer milik bilionair Mukesh Ambani. Syarikat-syarikat itu melabur besar dalam pasaran air berbungkus India bernilai US$3.5 bilion.
Pemantauan turut meliputi sektor air mineral semula jadi yang berkembang pesat dan menyasarkan pengguna berkemampuan tinggi serta mementingkan kesihatan. Produk daripada jenama dalam segmen itu lebih mahal berbanding air berbungkus biasa yang berharga US$0.20.
FSSAI dan pengawal selia negeri sebelum ini menjalankan banyak serbuan serta mengambil tindakan terhadap syarikat berhubung pelabelan yang tidak betul. Langkah berkenaan turut menjejaskan restoran seperti Domino's dan syarikat minuman keras termasuk Diageo.