Kerjasama penyelidik, industri perlu diperkukuh pacu teknologi tempatan
KUALA LUMPUR, 26 Nov — Kerjasama antara penyelidik dengan industri perlu diperkukuh bagi mempercepat pembangunan teknologi tempatan dan memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan untuk menangani cabaran semasa, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal.
Beliau berkata penglibatan industri tidak seharusnya terbatas kepada pembiayaan penyelidikan, sebaliknya perlu bermula pada peringkat awal melalui usaha mengenal pasti cabaran sebenar serta membangunkan penyelesaian yang bersesuaian.
“Kerjasama strategik antara penyelidik, industri dan kerajaan perlu diperkukuh bagi memastikan kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berorientasikan keperluan sebenar negara, sekali gus menyokong hasrat membangunkan teknologi dan produk ‘Made by Malaysia’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2026 anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM), di sini hari ini.
Mohammad Yusof berkata Malaysia menyasarkan perbelanjaan R&D oleh perusahaan perniagaan (BERD) meningkat kepada 70 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan R&D negara menjelang 2030, berbanding kira-kira 51 peratus pada 2022. Sasaran itu ditetapkan menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Menurut beliau, pencapaian sasaran berkenaan bukan hanya bergantung kepada peningkatan pelaburan. Keupayaan menterjemahkan hasil penyelidikan kepada teknologi, harta intelek, produk dan penyelesaian yang mempunyai nilai ekonomi serta memberi manfaat kepada rakyat juga diperlukan.
Terdahulu, Presiden ASM merangkap Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan Negara Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata sains dan teknologi perlu menjadi pemacu inovasi negara untuk meningkatkan daya saing industri.
Beliau berkata bidang itu turut menjana ekonomi bernilai tinggi dan memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati semua rakyat, ke arah kemakmuran bersama. ASM, katanya, berusaha menyediakan ruang kerjasama terbuka antara penyelidik, kerajaan, industri, ahli akademik dan masyarakat.
“ASM berusaha mewujudkan ruang kerjasama terbuka antara penyelidik, kerajaan, industri, ahli akademik dan masyarakat untuk membangunkan penyelesaian praktikal bagi memenuhi keperluan rakyat dan negara,” katanya.
Penerima TRSM 2026, Profesor Madya Dr Yeoh Fei Yee dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata penyelidikannya mengenai bahan termaju berasaskan nanopori memberi tumpuan kepada aplikasi bioperubatan dan alam sekitar.
Beliau berkata kekangan sumber kewangan dan kekurangan bakat dalam bidang sains dan teknologi merupakan antara cabaran yang dihadapi. Bilangan pelajar yang berminat menceburi bidang berkenaan juga semakin berkurangan, katanya.
Seorang lagi penerima, Profesor Madya Ir Dr Teow Yeit Haan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata penyelidikannya tertumpu pada teknologi membran untuk rawatan air dan air sisa serta pemulihan sumber. Usaha inovasi turut dijalankan bagi merapatkan jurang kerjasama antara industri dengan institusi akademik.
Beliau berkata kerjasama penyelidikan dengan pemain industri, termasuk Indah Water Konsortium, Sime Darby dan Infineon Technologies, menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan sebenar industri.
Seramai sembilan penyelidik menerima pengiktirafan TRSM 2026 atas kecemerlangan dan impak penyelidikan masing-masing. Jumlah penerima sejak inisiatif itu diperkenalkan pada 2012 kini mencecah 219 orang.