INSKEN sasar manfaatkan 5,000 PKS melalui latihan kemahiran AI
KUALA LUMPUR, 26 Nov — Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menyasarkan untuk membantu 5,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara menerusi program Artificial Intelligence for MSME Advancement in ASEAN (AIM ASEAN).
Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni, berkata pelantikan institut itu oleh Yayasan ASEAN sebagai Rakan Pelaksana Tempatan Malaysia mengiktiraf keupayaannya melaksanakan program pembangunan kapasiti usahawan.
Beliau berkata pelantikan berkenaan juga membuka peluang kepada INSKEN untuk menyumbang kepakaran dan pengalaman Malaysia kepada agenda pembangunan PMKS di peringkat ASEAN.
INSKEN menyambut baik hasrat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, untuk memperluas penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan PMKS, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Viviantie berkata usahawan perlu bersedia menerima teknologi bagi memastikan perniagaan mereka kekal relevan dan berdaya saing dalam persekitaran perniagaan yang terus berubah. AI, katanya, bukan sekadar alat untuk memudahkan tugasan, malah berpotensi meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan operasi dan membuka peluang pertumbuhan perniagaan baharu.
Menerusi AIM ASEAN, INSKEN mahu memastikan usahawan bukan sahaja diperkenalkan kepada teknologi AI, tetapi turut memperoleh pengetahuan, keyakinan dan kemahiran untuk menggunakannya dalam perniagaan masing-masing. Penggunaan teknologi itu juga perlu menghasilkan manfaat yang nyata, termasuk penjimatan masa, peningkatan kecekapan atau hasil perniagaan yang lebih baik, katanya.
Semua program latihan AI yang ditawarkan INSKEN di bawah inisiatif itu adalah percuma, sekali gus membolehkan lebih ramai usahawan meneroka dan memanfaatkan teknologi berkenaan tanpa menanggung kos penyertaan.
Setakat ini, enam sesi latihan dalam talian telah diadakan dan menarik lebih 600 usahawan. Sesi ketujuh pula sedang berlangsung secara bersemuka di ibu negara hari ini, kata Viviantie.
Beliau berkata pendekatan latihan hibrid itu bertujuan menyampaikan pengetahuan dan kemahiran berkaitan AI secara lebih interaktif dan praktikal, terutama kepada usahawan yang memerlukan bimbingan secara langsung.
Program AIM ASEAN diterajui Yayasan ASEAN dengan kerjasama AVPN, serta sokongan Google.org dan Bank Pembangunan Asia (ADB). Program itu bertujuan menggalakkan penggunaan AI secara praktikal dan bertanggungjawab dalam kalangan PMKS di seluruh ASEAN.
Inisiatif serantau selama dua tahun itu menyasarkan untuk memperkasa 100,000 PMKS di negara anggota ASEAN melalui latihan AI yang disesuaikan dengan keperluan tempatan.
Inisiatif itu turut menyokong fokus strategik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerusi Pelan Tindakan SCALE 2027, yang memberi penekanan kepada penggunaan AI dalam kalangan PMKS.