Kelewatan naik taraf teknologi, keselamatan API lemah tingkat risiko siber
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kelewatan menaik taraf teknologi, konfigurasi sistem yang lapuk dan antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) tanpa pengesahan kriptografi antara faktor utama yang meningkatkan kerentanan siber di seluruh dunia, kata Pengarah Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM), Datuk Prof Dr Muhammad Rezal Kamel Ariffin.
Beliau berkata organisasi sering menangguhkan penggantian perkakasan, perisian dan konfigurasi lama bagi mengurangkan kos, sekali gus membiarkan sistem terdedah kepada ancaman.
Muhammad Rezal berkata peralatan lama yang masih menggunakan tetapan kata laluan dan konfigurasi akses ketinggalan zaman boleh mewujudkan kelemahan pada keseluruhan sistem.
Katanya, pembelian peralatan baharu sahaja tidak memadai kerana organisasi juga perlu memberi perhatian kepada API, yang membolehkan sistem berbeza berkomunikasi serta bertukar arahan.
API perlu dilengkapi perlindungan kriptografi, seperti tandatangan digital, bagi mengesahkan arahan yang diterima datang daripada pengguna yang dibenarkan, katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Post-Quantum Cryptography in Practice - Migration Strategies for Secure Communications’ pada NEXSEC 2026: Advancing Cyber Resilience Through Collaboration, Innovation and Talent di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Menurutnya, pertimbangan kos selain kelemahan teknikal sering menentukan tempoh yang diambil organisasi untuk menaik taraf sistem masing-masing.
PTPKM sedang berusaha memudahkan konsep yang kompleks dan menyediakan model rujukan asas bagi membantu pemain industri menyesuaikan diri, katanya.
Bagi syarikat yang mempunyai bajet terhad, beliau mencadangkan migrasi Kriptografi Pasca Kuantum (PQC) dimulakan pada bahagian hadapan yang berinteraksi dengan pelanggan, termasuk dengan menggunakan Transport Layer Security (TLS) 1.3.
Protokol keselamatan itu menyulitkan data yang dihantar antara peranti pengguna dengan laman sesawang atau perkhidmatan dalam talian.
Bagaimanapun, katanya, naik taraf lebih menyeluruh yang merangkumi sistem bahagian belakang serta vendor pihak ketiga memerlukan pelaburan jauh lebih besar.
Mengenai kesiapsiagaan Malaysia dalam migrasi PQC, Muhammad Rezal berkata negara berada dalam Tier 1 bersama Lithuania, berdasarkan penilaian perundingan terhadap negara yang menterjemahkan dasar migrasi PQC kepada tindakan praktikal.
Beliau berkata laporan rumusan penilaian itu mendapati Malaysia antara hanya dua negara yang berjaya beralih daripada dasar kepada pelaksanaan, manakala beberapa negara lain mempunyai dasar tetapi belum mengambil tindakan.
Namun, katanya, Malaysia tidak seharusnya menganggap kedudukannya dalam Tier 1 akan kekal tanpa usaha berterusan.
Malaysia sebelum ini dilaporkan sebagai satu-satunya negara ASEAN dalam Tier 1, kategori tertinggi bagi kesiapsiagaan migrasi PQC, dalam laporan ASEAN Post-Quantum Cryptography Readiness 2026: An Empirical Assessment of the ASEAN-10 yang diterbitkan pada 1 Sept.
Laporan oleh firma perunding berpangkalan di United Kingdom, SITG-Consulting, itu meletakkan Brunei, Kemboja, Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam dalam Tier 2; Filipina dalam Tier 3; Laos dalam Tier 4; dan Myanmar dalam Tier 5. Firma itu mengkhusus dalam risiko siber, tadbir urus kriptografi, daya tahan organisasi dan kesiapsiagaan PQC.
Muhammad Rezal turut menggesa golongan muda membangunkan kemahiran dalam kriptanalisis dan menyumbang kepada daya tahan siber negara, selaras usaha kerajaan serta industri di bawah Pelan Migrasi PQC Kebangsaan (2025-2030).
Beliau berkata golongan muda perlu mempelajari kemahiran untuk mengenal pasti kelemahan algoritma. Di negara lain, kumpulan sukarelawan membantu usaha melindungi keselamatan negara masing-masing.
Katanya, golongan muda boleh menggunakan alat kecerdasan buatan atau kemahiran pengaturcaraan pada masa lapang untuk mengesan kelemahan keselamatan dan melaporkannya kepada pihak berkaitan.
Sumbangan mereka boleh menjadi sangat bernilai, katanya, sambil menambah individu yang terlibat wajar diberi peluang dan ganjaran sewajarnya kerana peranan mereka penting dalam memperkukuh keselamatan siber.