Dua beradik maut dalam kemalangan motosikal di Pasir Mas
KOTA BHARU, 26 Nov -- Dua beradik lelaki maut manakala abang sulung mereka cedera dalam kemalangan motosikal di Kampung Bechah Tendong, Pasir Mas, hari ini. Bapa mereka, Saiful Nizam Abdul Sani, 42, berkata berita tragis itu diterimanya selepas pemilik sebuah kedai makan menghubungi isterinya.
Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Muhammad Saiful Hayyan, 6, dan Muhammad Saiful Haider, 10. Abang mereka, Muhammad Saiful Haikal, 18, cedera parah dan sedang dirawat di Jabatan Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Saiful Nizam berkata pemilik kedai makan itu menghubungi isterinya, Nur Zuhanis Mohd Nor, 42, kira-kira 2 petang untuk memaklumkan anak-anak mereka terbabit dalam kemalangan motosikal.
“Selepas menerima berita itu, saya bergegas ke tempat kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah kami,” katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik HRPZ II di sini, hari ini.
Beliau berkata sebaik tiba, beliau melihat kedua-dua anaknya terbaring berlumuran darah. Muhammad Saiful Haider meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Muhammad Saiful Hayyan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HRPZ II.
Ketiga-tiga beradik itu menaiki sebuah motosikal yang ditunggang Muhammad Saiful Haikal. Mereka dalam perjalanan selepas mengambil Muhammad Saiful Haider dari Sekolah Kebangsaan Othman Talib 1.
Saiful Nizam berkata kedua-dua anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara dalam tingkah laku sebelum kejadian. Bagaimanapun, guru tadika Muhammad Saiful Hayyan memaklumkan bahawa kanak-kanak itu kelihatan lebih pendiam daripada kebiasaannya pada hari berkenaan.
Menurutnya, anaknya biasanya ceria dan banyak bercakap. Mayat kedua-dua mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung, Tendong, Pasir Mas, esok selepas urusan bedah siasat selesai.
Saksi kejadian, Mohd Rosli Awang Ngah, 47, berkata beliau terkejut apabila terdengar bunyi seperti dentuman kuat di luar kedai makannya. Ketika menjenguk ke luar, beliau mendapati sebuah motosikal merempuh tiang pagar kedai hingga bengkok.
“Saya nampak seorang kanak-kanak terbaring tidak bergerak di hadapan kedai dengan darah di kepala. Apabila menghampiri, saya melihat seorang lagi kanak-kanak berpakaian seragam sekolah dan seorang remaja turut terbaring tidak bergerak di sebelah kiri kedai,” katanya kepada pemberita di Kampung Bechah, berhampiran Tendong, Pasir Mas, hari ini.
Mohd Rosli berkata beliau segera meminta bantuan ambulans selepas melihat keadaan mangsa. Beliau mengenali mereka kerana ketiga-tiga beradik itu kerap singgah di kedai makannya ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.
Beliau berkata rumah keluarga berkenaan juga terletak berhampiran kedai makan itu. “Saya tidak pernah menyangka mangsa ialah kanak-kanak yang saya kenali. Saya berharap keluarga mereka tabah menghadapi saat sukar ini,” katanya.