Komponen menara sementara ERS tiba di lokasi menara tumbang di Ranau

Sumber: Astro Awani
Komponen menara sementara ERS tiba di lokasi menara tumbang di Ranau
Gambar: Astro Awani

KOTA KINABALU: Komponen menara sementara Emergency Restoration System (ERS) tiba di lokasi menara penghantaran T313 yang tumbang di Ranau pada 1.07 pagi ini, bagi membantu memulihkan talian elektrik antara Pantai Barat dengan Pantai Timur Sabah.

Sabah Electricity dalam kenyataan memaklumkan lori yang membawa kontena menara sementara itu selamat tiba di lokasi. Pasukan teknikal syarikat berkenaan kini menjalankan kerja persediaan sebelum pemasangan menara ERS dimulakan.

Menurut syarikat itu, kerja berkenaan dilaksanakan dengan mengutamakan keselamatan serta pematuhan terhadap prosedur yang ditetapkan. Sabah Electricity turut memaklumkan bahawa usaha sedang dipergiat bagi mempercepat pemulihan bekalan kepada pengguna yang terjejas.

Menara penghantaran T313 tumbang semalam, dalam kejadian yang dikesan pada 6.04 pagi. Insiden itu memutuskan dua litar talian penghantaran dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah, sekali gus mengganggu bekalan elektrik di lapan daerah dan menjejaskan 153,599 pengguna berdaftar.

Sabah Electricity memohon maaf atas kesulitan yang dialami sepanjang tempoh gangguan serta menghargai kesabaran dan kerjasama pelanggan. “Sabah Electricity amat menghargai kesabaran anda dan segala kesulitan amat dikesali,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan perkembangan terkini melalui laman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline atau menghubungi talian 15444, 088-515000 serta WhatsApp 019-8525427.