Laura Freigang digantung hingga 2027, terlepas Piala Dunia Wanita

FRANKFURT: Pemain skuad kebangsaan wanita Jerman, Laura Freigang, akan terlepas kejohanan Piala Dunia Wanita tahun depan di Brazil selepas digantung kerana gagal berada di lokasi yang ditetapkan untuk ujian doping. Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) mengumumkan perkara itu pada Khamis, menurut Agensi Berita Jerman (dpa).
Penggantungan pemain berusia 28 tahun itu berkuat kuasa sehingga 7 Okt 2027. Ia dibuat susulan persetujuan antara Freigang, DFB, Agensi Antidoping Dunia (WADA) dan Agensi Antidoping Kebangsaan Jerman (NADA).
Prosiding terhadap pemain Eintracht Frankfurt itu berlangsung sejak beberapa bulan lalu. Freigang didakwa tidak berada di lokasi yang ditetapkannya untuk menjalani ujian doping sebanyak tiga kali, antara Mac 2025 hingga Februari 2026.
Pada Jun, Freigang menjelaskan ujian yang terlepas itu bukan berpunca daripada tindakan sengaja mengelak janji temu. Beliau berkata perkara itu berlaku akibat ketidakselarasan atau salah faham dalam butiran yang perlu dikemas kini setiap hari.
Menurutnya, pemain skuad kebangsaan perlu mengemas kini maklumat berkenaan dalam sistem setiap hari dan setiap jam. Kenyataan itu dibuat ketika beliau menjelaskan sebab ujian berkenaan tidak dapat dijalani.
Freigang sudah membuat 45 penampilan untuk pasukan kebangsaan Jerman dan menjaringkan 17 gol. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini beliau bukan lagi pemain yang kerap diturunkan dalam kesebelasan utama.