FIFA sahkan serangan siber, data FFE tidak terjejas

LONDON: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan menjadi mangsa serangan siber yang membolehkan pihak tidak bertanggungjawab mengakses sejumlah kecil maklumat peribadi dan perniagaan. Namun, pencerobohan itu tidak melibatkan dokumen berhubung cadangan pelaburan swasta bagi Piala Dunia.
Beberapa individu dipercayai memperoleh akses kepada data FIFA baru-baru ini dengan menyamar sebagai kakitangan badan induk bola sepak itu. Akses berkenaan bukan diperoleh melalui kelemahan sistem keselamatan siber FIFA.
Kumpulan Handsome Boy Hacking Club mengaku bertanggungjawab atas serangan itu. Kumpulan berkenaan memuat naik tangkap layar untuk menyokong dakwaannya menerusi akaun X pada 19 Nov.
Analisis dalaman FIFA mendapati pencerobohan itu melibatkan 0.1 peratus daripada keseluruhan data yang disimpan organisasi itu. Tiada dokumen berkaitan cadangan FIFA Forward Enterprise (FFE) diperoleh dalam serangan tersebut.
Presiden FIFA, Gianni Infantino, menggugurkan cadangan FFE pada Ogos selepas ditolak tiga konfederasi bola sepak benua. Cadangan itu bertujuan mendapatkan pelaburan swasta dalam sebuah syarikat yang akan mengawal hak komersial Piala Dunia dan pertandingan FIFA lain.
FIFA kemudian menjemput anggota Majlis FIFA ke ibu pejabatnya di Zurich untuk meneliti dokumen berkaitan FFE. Pengerusi Persatuan Bolasepak England (FA) merangkap Naib Presiden FIFA, Debbie Hewitt, difahamkan menerima jemputan itu dan meneliti dokumen berkenaan pada Selasa. Protokol ketat dikenakan, termasuk menyerahkan telefon bimbit dan menandatangani perjanjian kerahsiaan.
Jurucakap FIFA berkata organisasi itu bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan, termasuk agensi penguatkuasaan undang-undang. FIFA turut mengutuk tindakan memperoleh dan menyiarkan maklumat secara tidak sah, khususnya data peribadi, sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran privasi serius yang tidak boleh diterima dan boleh memberi kesan besar kepada individu terbabit.