FIFA sahkan serangan siber, data peribadi dan perniagaan diakses

PARIS: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan menjadi mangsa serangan siber jenayah yang membolehkan pihak tidak bertanggungjawab mengakses sejumlah terhad maklumat peribadi dan perniagaan organisasi itu tanpa kebenaran.
Jurucakap FIFA memaklumkan kepada Reuters bahawa badan induk bola sepak dunia itu mengecam keras tindakan mendapatkan serta menerbitkan maklumat secara tidak sah. FIFA menyifatkan pendedahan data peribadi sebagai pencabulan privasi yang serius dan tidak boleh diterima.
Bagaimanapun, FIFA tidak menyatakan jumlah individu atau organisasi yang terjejas, tarikh serangan berlaku atau jenis maklumat perniagaan yang diakses. Organisasi itu juga tidak menjelaskan sama ada data berkenaan sudah diterbitkan dalam talian atau di mana maklumat itu disebarkan.
Sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai perkara itu memberitahu Reuters bahawa kurang 0.1 peratus daripada keseluruhan data yang disimpan FIFA terjejas. Sumber itu turut mengesahkan tiada fail daripada projek FIFA Forward Enterprise yang sudah dibatalkan diakses dalam insiden berkenaan.
Pada Julai lalu, Presiden FIFA, Gianni Infantino, mengumumkan organisasi itu membatalkan rancangan menjual pegangan dalam Piala Dunia kepada pelabur swasta susulan bantahan meluas. Rancangan asal menyasarkan kutipan sehingga AS$4.2 bilion (RM18.2 bilion) melalui penjualan 20 peratus pegangan dalam unit baharu yang akan mengendalikan acara FIFA, termasuk Piala Dunia.