FAM sedia jadi perantara bantu KRW FC urus sekatan FIFA

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia menjadi perantara untuk membantu Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) menyelesaikan sekatan pemain yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), termasuk dalam urusan rayuan.
Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail, berkata persatuan itu boleh memberikan bantuan sewajarnya, namun KRW FC perlu berhubung secara langsung dengan FIFA kerana isu berkenaan melibatkan tindakan kelab.
“FAM sebenarnya boleh menjadi jambatan, terutamanya untuk urusan rayuan. Yang lain saya rasa pihak kelab atau pasukan perlu berurusan terus dengan FIFA,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Kongres Luar Biasa Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di sini hari ini. Menurutnya, isu itu tidak memberi kesan kepada FAM sendiri.
Mengulas pelantikan Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, Rosmadi berkata pemilihan pengendali dari Croatia itu berdasarkan merit dan rekod kejayaannya bersama beberapa pasukan.
Antara pencapaian Bojan ialah membantu Kelantan meraih kejuaraan treble dalam saingan Liga Malaysia 2012, menjuarai Piala Malaysia bersama Kuala Lumpur City (KL City) serta mencipta kejayaan bersama Persib Bandung. Rosmadi berharap peminat dan penyokong bola sepak negara memberi ruang kepada Bojan untuk membentuk pasukan kebangsaan yang lebih kompetitif.
Dalam perkembangan lain, Rosmadi berkata KAFA akan dipulihkan secara berfasa selepas digantung hampir dua tahun. Fasa pertama memberi tumpuan kepada pengurusan dan pentadbiran, manakala fasa kedua melibatkan pembangunan bola sepak.
Beliau berkata tempoh 100 hari pertama akan dijadikan asas untuk mengenal pasti keutamaan dan sasaran pemulihan. Keutamaan kepada pentadbiran diperlukan kerana banyak aktiviti pembangunan terbantut dalam tempoh dua tahun sebelum ini.
Rosmadi berkata barisan Exco baharu akan berusaha memulihkan persatuan itu dengan memanfaatkan pengalaman anggota dalam pengurusan bola sepak. Rancangan pemulihan akan diperincikan dalam mesyuarat pertama Exco baharu, dengan kerjasama persatuan bola sepak jajahan (PBJ) diperlukan untuk merangka hala tuju KAFA.