Sabah Electricity sasarkan grid pantai timur pulih dalam enam hari

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd menyasarkan pemulihan talian penghantaran tenaga 275 kV ke pantai timur Sabah dalam tempoh enam hari selepas menara tumbang di Ranau, awal pagi tadi. Pengerusinya, Datuk Saadiah Aziz, berkata pemulihan penuh grid dijangka dicapai pada 2 Disember selepas dua talian penghantaran yang terjejas disambung semula.
Saadiah berkata, tempoh itu diperlukan untuk Sabah Electricity dan kontraktornya menghantar peralatan bagi pemasangan menara sementara serta menyambung talian terjejas di lokasi berhampiran menara tumbang yang dikenal pasti selamat.
Sepanjang kerja pemulihan, bekalan elektrik di pantai timur akan dijana menggunakan jana kuasa sedia ada di Sandakan dan Tawau, selain disokong jana kuasa bergerak yang dihantar ke semua kawasan terjejas.
“Kita menyasarkan tempoh enam hari untuk menyambung semula grid yang terjejas ke pantai timur Sabah dan mungkin boleh disiapkan lebih awal lagi. Namun, apa yang penting kita juga mesti mengutamakan keselamatan mereka yang melaksanakan kerja di lapangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Sabah Electricity, di sini, hari ini.
Saadiah berkata, sistem pengurusan krisis diaktifkan sejurus punca gangguan bekalan di pantai timur dikenal pasti. Langkah segera turut disusun bagi memulihkan bekalan sementara di tujuh daerah, iaitu Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Insiden itu menyebabkan bekalan elektrik terputus kepada 153,599 pengguna berdaftar. Menurut Saadiah, tindakan awal termasuk memulihkan lalu lintas di laluan utama Ranau-Telupid, yang terhalang kabel elektrik berhampiran Sekolah Kebangsaan Matupang, Ranau, pagi tadi.
Pemulihan bekalan elektrik di daerah terjejas kemudian dilakukan secara berperingkat menggunakan jana kuasa sedia ada dan mudah alih. Sabah Electricity juga berjaya menggabungkan talian grid pantai timur yang menghubungkan semua daerah di kawasan itu bagi meningkatkan keupayaan bekalan dan mengehadkan kesan catuan kepada antara satu hingga dua jam.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata hakisan tebing Sungai Liwagu di Ranau akibat arus deras dikenal pasti sebagai punca utama menara bertanda T313 tumbang. Arus deras itu berlaku susulan hujan berterusan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, hakisan tebing sungai dikesan sejak Januari lalu, sebelum kerja pengukuhan dilaksanakan pada Mac menggunakan guni pasir dan susunan batu besar. Bagaimanapun, hujan berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan arus deras menghanyutkan tebing baharu itu dan menara berkenaan tumbang.
Kejadian itu menyebabkan pantai timur Sabah kehilangan 295 MW tenaga yang disalurkan dari pantai barat Sabah. Pemulihan grid dimulakan dengan talian satu yang dijangka disambung semula pada 1 Disember, diikuti talian dua pada 2 Disember sebelum sistem grid Sabah disambung semula sepenuhnya.