Ketua yayasan taska di Yogyakarta dipenjara sembilan tahun kerana penderaan

Sumber: Harian Metro
Ketua yayasan taska di Yogyakarta dipenjara sembilan tahun kerana penderaan
Gambar: Harian Metro

JAKARTA: Ketua Yayasan yang mengendalikan Pusat Jagaan Kanak-kanak Little Aresha di Yogyakarta, Diyah Kusumastuti, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun pada Khamis selepas didapati bersalah mengendalikan taska tanpa lesen serta cuai sehingga menyebabkan kanak-kanak didera.

Mahkamah turut mengenakan denda 900 juta rupiah, bersamaan kira-kira RM202,000, dan mengarahkan Diyah membayar pampasan kira-kira 200 juta rupiah. Pendakwa raya sebelum ini menuntut hukuman penjara 10 tahun, menurut dokumen mahkamah.

Kes itu mencetuskan kemarahan rakyat Indonesia selepas polis menyerbu pusat jagaan berkenaan pada akhir April lalu. Puluhan kanak-kanak berusia antara dua hingga enam tahun ditemukan dengan tangan dan kaki diikat.

Wakil peguam Diyah memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya masih mempertimbangkan sama ada akan mengemukakan rayuan. Reuters tidak dapat menghubungi wakil berkenaan dengan segera untuk mendapatkan komen.

Keputusan rasmi mahkamah masih belum diterbitkan, manakala pihak Mahkamah Yogyakarta belum memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen.

Wakil ibu bapa kanak-kanak terbabit, Imedia Dwi Anjani, berkata jumlah pampasan itu tidak mencukupi untuk menampung kos terapi mereka. Minggu lalu, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap pengetua taska berkenaan.