Kekecohan penyokong Besiktas cetus ketegangan diplomatik Turkiye-Georgia

BATUMI: Perlawanan Liga Europa UEFA antara Besiktas dan kelab Israel, Hapoel Beer-Sheva, di Batumi, Georgia, pada Khamis terganggu selepas penyokong kelab Turkiye itu bertembung dengan polis, sekali gus mencetuskan insiden diplomatik antara Turkiye dan Georgia.
Kekecohan menyebabkan perlawanan dihentikan sementara pada minit ke-26. Pengadil dari Denmark, Morten Krogh, mengarahkan kedua-dua pasukan kembali ke bilik persalinan ketika gangguan berlaku di tempat duduk penonton.
Sebelum polis campur tangan, penyokong Besiktas dilaporkan membentangkan sepanduk pro-Palestin bertulis “Bangkit menentang penjajahan, kebebasan untuk Palestin”, mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan anti-Israel.
Kementerian Dalam Negeri Georgia berkata tiga pegawai cedera akibat tindakan ganas penyokong, manakala 16 orang ditahan. Menurut kementerian itu, beberapa penyokong turut membaling kerusi stadium ke arah pegawai.
Kementerian berkenaan menafikan laporan bahawa polis menggunakan kekerasan sebagai tindak balas terhadap bendera dan sepanduk pro-Palestin. Ia berkata pergelutan fizikal serta tindakan ganas penyokong bermula sebelum bendera dan sepanduk dipamerkan, ketika mereka masih berjalan menuju ke stadium.
Agensi berita swasta Turkiye, DHA, melaporkan polis menggunakan semburan lada terhadap penyokong dan beberapa daripada mereka memerlukan rawatan perubatan. Rakaman televisyen secara langsung pula menunjukkan penyokong bergelut dengan polis serta membaling objek ketika pihak berkuasa cuba membuat tangkapan.
Perlawanan itu dipindahkan dari Istanbul ke Georgia selepas pihak berkuasa Turkiye memaklumkan kepada badan pentadbir bola sepak Eropah bahawa perlawanan tidak dapat diadakan di Istanbul atas alasan keselamatan. UEFA mengumumkan pemindahan perlawanan itu bulan lalu.
Persekutuan Bola Sepak Turkiye mengutuk tindakan polis Georgia yang disifatkannya sebagai “tidak boleh diterima” terhadap penyokong Besiktas di dalam dan di luar stadium, sebelum serta ketika perlawanan berlangsung.
Besiktas pula memfailkan aduan kepada UEFA berhubung apa yang disifatkannya sebagai penggunaan kekerasan secara “tidak seimbang” oleh polis Georgia. Kelab itu berkata ia telah mengambil langkah bersama konsulat jeneralnya di Batumi dan UEFA berhubung layanan terhadap penyokong.
Kelab berkenaan turut berkata pihaknya akan memantau keadaan sehingga semua penyokongnya pulang dengan selamat ke Turkiye. Seorang pekerja Besiktas memberitahu AFP bahawa lima penyokong sedang menerima rawatan di hospital.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, menghubungi pengerusi Besiktas, Serdal Adali, melalui telefon. Menurut kelab itu, Erdogan berkata beliau mengikuti perkembangan insiden berkenaan dengan rapat.
Kejadian itu turut mendorong Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, menghubungi rakan sejawatannya dari Georgia, Maka Botchorishvili. Sumber Kementerian Luar Turkiye berkata pegawai kedutaan negara itu di Tbilisi dan konsulat jeneral di Batumi berada di stadium.
“Semua langkah yang perlu sedang diambil bagi memastikan keselamatan rakyat kami dan melindungi hak mereka,” kata sumber kementerian itu.
Hubungan Turkiye dengan Israel merosot dengan ketara sejak perang di Gaza tercetus. Erdogan, yang menyokong perjuangan Palestin, berulang kali menuduh Israel melakukan “pembunuhan beramai-ramai” di Gaza. Sepanduk dan laungan pro-Palestin juga kerap dilihat atau didengar di perlawanan bola sepak Turkiye, khususnya sejak perang bermula.
Selepas perlawanan yang berakhir dengan kemenangan 2-1 untuk Besiktas, Hapoel Beer-Sheva mengeluarkan pesanan dalam bahasa Ibrani kepada penyokongnya yang hadir. Kelab itu meminta mereka bertindak dengan bertanggungjawab dan berhati-hati, serta mematuhi arahan pasukan keselamatan Georgia ketika meninggalkan stadium dan menuju ke tempat penginapan.
Beberapa pihak di Turkiye menyatakan sokongan di media sosial, termasuk menteri sukan dan datuk bandar Ankara. Galatasaray dan Fenerbahce, dua pencabar tradisi Besiktas dari Istanbul, serta Trabzonspor turut mengutuk kejadian itu dan menyatakan solidariti kepada kelab berkenaan.