Catuan elektrik di empat daerah Pantai Timur Sabah susulan menara tumbang

Sumber: Astro Awani
Catuan elektrik di empat daerah Pantai Timur Sabah susulan menara tumbang
Gambar: Astro Awani

KOTA KINABALU: Sabah Electricity melaksanakan catuan bekalan elektrik di Sandakan, Tawau, Semporna dan Lahad Datu bagi mengekalkan kestabilan sistem susulan kejadian menara penghantaran elektrik T313 tumbang di Ranau, semalam.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan catuan dijalankan melalui penyelarasan jadual giliran pengumpan supaya pengguna di kawasan terlibat menerima bekalan secara bergilir. Empat daerah berkenaan dikenal pasti setakat 10 pagi tadi.

Sabah Electricity berkata pihaknya amat menghargai kesabaran pengguna dan memohon maaf atas kesulitan yang berlaku. Jurucakap syarikat itu ketika dihubungi berkata jadual catuan lengkap, termasuk masa pelaksanaannya, sedang disediakan dan akan dimaklumkan kemudian.

Di Sandakan, antara lokasi terlibat ialah Klinik Kesihatan Batu 10, Sekolah Kebangsaan (SK) Berhala, Masjid Besar Sandakan, Pejabat Polis Marin, Pasar Besar Sandakan, SK Bambangan, SK Rimba, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merpati, SMK Elopura Bestari dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pea Wha.

Catuan di daerah itu turut meliputi Bandar Ramai-Ramai, Bandar Leila, Hsiang Garden, Bandar Fajar, Tanah Merah, Kampung Sim Sim Jambatan 1 hingga 17, Kampung Sibuga Besar, Kampung Gum-Gum, Jalan Seguntur dan Taman Permata serta kawasan sekitarnya.

Di Tawau, kawasan yang disenaraikan termasuk Perumahan Borneo Samudera, SK Batu 22, Kampung Rancangan Batu 22, SK Bukit Queen, Jabatan Pertanian Bukit Queen, SK Andrassy, Menara Telekom, Takungan Air Indrasabah, Loji Kumbahan Semarak dan Dewan Sri Tawau. Lokasi lain ialah SK Bahagia, SK Kukusan, Penjara Jalan Air Panas, Kuarters PGA, Taman Tawau 1 dan 2, PPRT 1 dan 2 Semarak, Kampung Indrasabah serta Kampung Balung Kokos Hujung dan kawasan sekitarnya.

Di Semporna, senarai kawasan terlibat merangkumi SK Tagasan, MRSM Semporna, SMK Tagasan, Masjid Saidina Abu Bakar, Masjid Jamek, Kolej Komuniti, Akademi Pengajian Al-Quran Semporna, Klinik Desa Kampung Tagasan, Masjid Al-Mustaqim dan Masjid As-Salam. Catuan turut membabitkan Kampung Indani, Kampung Bugaya, Kampung Bugaya Laut, Dewan Sri Bugaya, Kampung Tagasan, Kampung Pegagau, Kampung Kubang, Kampung Kalumpang, Pejabat JPN dan Pejabat JHEINS serta kawasan sekitarnya.

Di Lahad Datu, kawasan terlibat ialah Jalan Dam, Jalan Segama Lama, Kampung Kenangan, Masjid Nurul Mubarak, Syarimo Palm Oil Mill, Jabatan Haiwan, Kampung Langsat, Bulatan POIC Segama 2, Borneo Engineering dan Lahad Datu Golf Country Club. Sabah Electricity turut merakamkan penghargaan atas kerjasama pengguna sepanjang penyelarasan giliran itu.

Menara T313 tumbang pada 6.04 pagi semalam, menyebabkan dua litar talian penghantaran dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah terputus. Gangguan itu menjejaskan bekalan elektrik di lapan daerah dan 153,599 pengguna berdaftar.

Orang ramai boleh mendapatkan perkembangan terkini menerusi laman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline atau menghubungi talian 15444, 088-515000 dan WhatsApp 019-852 5427.