374 syarikat tempatan manfaat projek Dana Pembangunan Perindustrian Baharu
KUALA LUMPUR, 25 Nov — Seramai 374 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan dalam pelbagai sektor industri mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek di bawah Dana Pembangunan Perindustrian Baharu (NIDF) setakat Oktober 2026.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata NIDF berperanan menterjemahkan misi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) kepada tindakan di peringkat syarikat, sekali gus menyokong agenda “Made by Malaysia”.
Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini, kementerian memaklumkan bantuan itu merangkumi usaha meningkatkan keupayaan teknologi, memperkukuh kapasiti pengeluaran, menggalakkan inovasi serta membangunkan produk dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi.
Jawapan itu diberikan kepada Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu), yang meminta perkembangan pelaksanaan agenda “Made by Malaysia”, khususnya berhubung pembangunan produk berteknologi tinggi dengan reka bentuk, teknologi dan harta intelek milik syarikat tempatan.
Beliau turut bertanyakan jumlah syarikat tempatan yang berjaya membangunkan produk menggunakan harta intelek sendiri serta nilai eksport yang dijana.
Menurut MITI, inisiatif berkenaan membantu syarikat tempatan meningkatkan daya saing, meluaskan peluang perniagaan dan memperkukuh penyertaan dalam rantaian nilai domestik serta global.
Usaha itu juga menyokong peralihan syarikat tempatan daripada sekadar pengilang kepada pemilik reka bentuk, teknologi dan jenama, sejajar dengan Misi 1 NIMP 2030 serta agenda “Made by Malaysia”.
Antara program utama yang dilaksanakan dengan sokongan dana itu dan menyumbang secara langsung kepada agenda berkenaan ialah program Smart Tech Up (STU), Smart Factory Excellence and Recognition (SFERE), MyChipStart serta projek Smart Manufacturing Aspirations with Revolutionary Technology (SMART 2030).