Belanjawan 2027 langkah penting angkat kehidupan rakyat, kata Anwar

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini merupakan langkah penting Kerajaan MADANI untuk meningkatkan kehidupan rakyat, selain memperkukuh daya tahan dan menjamin masa depan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian menerusi hantaran di Facebook hari ini. Beliau berharap segala perancangan dan usaha yang digariskan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya serta memberi manfaat nyata kepada rakyat.
“Moga segala perancangan dan ikhtiar yang digariskan ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, membawa manfaat yang nyata kepada rakyat serta menjadi asas yang kukuh untuk membina Malaysia yang lebih makmur, adil dan sejahtera,” katanya.
Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 selepas ia dibentangkan Anwar pada 9 Okt lepas. Belanjawan bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” itu menggariskan lapan lunas utama, daripada komitmen untuk kehidupan rakyat yang lebih baik hingga agenda memperkukuh daya tahan dan masa depan negara.
Belanjawan kelima di bawah Kerajaan MADANI itu melibatkan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion. Ia turut merangkumi RM25 bilion pelaburan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM11 bilion pelaburan awam-swasta serta RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).
Keseluruhan Belanjawan 2027 berjumlah RM510 bilion, meneruskan dasar fiskal mengembang.