Anwar di tangga kelapan pemimpin paling berpengaruh di Asia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disenaraikan di kedudukan kelapan dalam Indeks Kuasa Asia 2026 oleh Institut Lowy, dengan skor 46 mata.
Kedudukan itu dilaporkan menerusi hantaran di laman Facebook ABC Asia Australia. Anwar ialah seorang daripada hanya tiga pemimpin ASEAN dalam senarai berkenaan.
Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menduduki tempat ketiga dengan 74 mata, manakala Presiden Vietnam To Lam berada di tangga ketujuh dengan 50 mata.
Presiden China Xi Jinping mengungguli penarafan kepimpinan politik dengan skor 100 daripada 100 bagi keberkesanan diplomatik di peringkat global. Perdana Menteri India Narendra Modi berada di tempat kedua.
Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi menduduki tangga keempat, diikuti Perdana Menteri Australia Anthony Albanese di tempat kelima. Presiden Korea Selatan Lee Jae-Myung pula berada di kedudukan keenam.
Penarafan itu disusun Institut Lowy, badan pemikir Australia, berdasarkan tinjauan dalam kalangan pakar. Mereka menilai keberkesanan pemimpin politik dalam memajukan kepentingan diplomatik negara masing-masing di persada dunia.
Penilaian kepimpinan politik berkenaan merupakan sebahagian daripada Indeks Kuasa Asia, yang mengukur kuasa dan pengaruh 27 negara serta wilayah di rantau itu.