Anwar, Hajiji sanjung keberanian dan dedikasi Gani Patail

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor memberi penghormatan kepada bekas Peguam Negara, Abdul Gani Patail, yang meninggal dunia pada 9 malam semalam pada usia 71 tahun.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar menyifatkan Gani sebagai tokoh perundangan yang berani menegakkan keadilan. Beliau berkata akan sentiasa menghargai keteguhan Gani dalam memperjuangkan keadilan selepas Malaysia terheret dalam “skandal rasuah terbesar”.
“Beliau tetap teguh dengan pendiriannya sepanjang tempoh sukar itu, yang akhirnya menyebabkan beliau disingkirkan daripada jawatan,” kata Anwar.
Hajiji pula berkata kematian Gani merupakan kehilangan besar bukan sahaja kepada Sabah, malah kepada seluruh negara. Menurutnya, Gani banyak menyumbang kepada profesion undang-undang dan perkhidmatan awam sebagai anak Sabah. “Dedikasi beliau akan sentiasa dikenang,” katanya dalam hantaran Facebook.
Gani berkhidmat sebagai Peguam Negara dari 2002 hingga 2015 dan merupakan anak Sabah pertama memegang jawatan itu. Beliau mengetuai pasukan petugas khas yang menyiasat 1MDB ketika kontraknya sebagai Peguam Negara ditamatkan pada 2015, atas alasan “masalah kesihatan”.
Penyingkiran itu berlaku ketika skandal 1MDB memuncak dan menimbulkan kontroversi. Gani bagaimanapun menegaskan beliau berada dalam keadaan sihat.
Pada 2018, bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa Gani sedang bersiap untuk mendakwa Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, berhubung skandal 1MDB ketika kontraknya ditamatkan. Najib menafikan memecat Gani.