Guru SJI ambil dua calon SPM yang terkandas akibat gangguan LRT

KUALA LUMPUR: Seorang guru Tingkatan Lima St John's Institution (SJI) mengambil dua pelajar lelaki menggunakan motosikal selepas mereka lewat untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akibat gangguan perkhidmatan LRT, hari ini.
Kedua-dua calon itu sepatutnya menduduki Kertas 1 Matematik yang bermula pada 8.15 pagi. Perjalanan tren LRT Laluan Kelana Jaya terganggu susulan masalah bekalan kuasa landasan antara Stesen Subang Jaya dengan Lembah Subang.
Selepas dimaklumkan mengenai kelewatan itu dan mendapat kelulusan pihak sekolah, Guru Penyelia Tingkatan 5, Mohd Nur Hafizan Abdullah, 40, segera mengambil mereka di Stesen LRT Jelatek dan Kampung Baru.
Pengetua SJI, T Sivakumar, menerusi hantaran Facebook sekolah itu hari ini, merakamkan penghargaan kepada Mohd Nur Hafizan atas komitmen dan tindakan pantasnya. Beliau berkata, usaha guru berkenaan membolehkan dua calon itu menduduki kertas Matematik mengikut masa peperiksaan yang ditetapkan.
“Terima kasih En Hafizan atas komitmen dan tindakan pantas demi kelangsungan kecemerlangan SPM SJI,” katanya.
Hantaran itu kemudian tular di media sosial dan menerima pujian daripada warganet. Pengguna Facebook, Rosnah Arif, mengucapkan terima kasih kepada guru berkenaan serta mendoakan kejayaan kedua-dua pelajar itu.
“Semoga pelajar tersebut dapat menjawab kertas exam (peperiksaan) dengan tenang dan berjaya mendapat yang terbaik. Setiap yang baik akan ada balasan yang baik daripada-NYA,” tulisnya.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad, turut menghargai tindakan Mohd Nur Hafizan. “Terima kasih dan tahniah cikgu atas tindakan pantas dan keprihatinan,” katanya. Bekas alumni SJI, Badrul Nizam Hamzah, turut menyampaikan pujian dengan berkata, “Terbaik cikgu daripada kami Johanian Veteran.”
Mohd Nur Hafizan membalas hantaran itu dengan mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan kebenaran pengetua, barisan pentadbir, Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Setiausaha Peperiksaan, rakan guru serta ibu bapa yang hadir.
Beliau turut memberikan penghargaan kepada Cikgu Izzad dan Cikgu Azrol sebagai pemilik motosikal dan topi keledar yang digunakan. Guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Moral itu dilaporkan sudah 12 tahun berkhidmat di SJI.