Alfa Cafe tambah dua pemain hadapi Grand Final Liga Takraw Nasional

Kuala Lumpur: Alfa Cafe MIBJ D dan Alfa Cafe Z mendapat kebenaran pihak teknikal untuk menambah dua pemain bagi menghadapi Grand Final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026, yang dijadual berlangsung di Akademi Sepaktakraw Malaysia, Kuala Lumpur pada Sabtu dan Ahad ini.
Pengurus kedua-dua pasukan, Muhammad Fareez Othman berkata, kelulusan itu melegakan kem Alfa Cafe selepas mereka mengharungi saingan Zon Utara dan Zon Timur dengan hanya tiga pemain bagi setiap pasukan. Penambahan pemain dijangka memberi lebih banyak pilihan ketika menghadapi perlawanan akhir.
Menurut Fareez, langkah itu juga penting sebagai persediaan sekiranya berlaku kecederaan atau perkara tidak diingini. Kebimbangan meningkat selepas apit kanan Alfa Cafe Z, Hazim Abdul Hadi, mengalami kecederaan paha ketika beraksi di Terengganu.
“Alhamdulillah, lega sedikit apabila pihak teknikal membenarkan kami menambah pemain untuk Grand Final ini,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua pasukan merancang mendaftarkan dua pemain tambahan, tetapi senarai akhir hanya akan dimuktamadkan ketika proses pendaftaran pemain pada pagi Sabtu ini. Pemain yang pernah beraksi di peringkat zon juga boleh didaftarkan sekiranya pasukan asal mereka tidak berjaya melayakkan diri ke Grand Final.
Dalam perkembangan berkaitan, Fareez berkata undian yang berlangsung semalam turut memberikan cabaran kepada kedua-dua pasukannya. Alfa Cafe Z diletakkan dalam Kumpulan B bersama SSMT EC Smurf B, SSMT H dan Highlander A. Alfa Cafe MIBJ D pula, yang hadir sebagai juara Zon Utara, berada dalam Kumpulan D bersama MSP B, MBPG dan Warisan B.
Fareez menyifatkan Kumpulan B sebagai kumpulan yang mencabar kerana tiga pasukan lain mempunyai kekuatan tersendiri, terutama wakil Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT). Namun, beliau berkata keputusan pertandingan tidak boleh dijangka berdasarkan kekuatan pasukan semata-mata.
“SSMT memang mempunyai pemain yang bagus dari segi permainan, tetapi dalam sepak takraw, menang kalah itu adat pertandingan,” katanya.
Beliau turut mengimbas pengalaman Alfa Cafe menentang Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di Terengganu. Walaupun pada awalnya SSBJ dilihat mempunyai permainan yang baik, Alfa Cafe akhirnya memperoleh peluang untuk melangkah ke suku akhir.
“Jadi, apa sahaja boleh berlaku di dalam gelanggang,” katanya.
Bagi Alfa Cafe MIBJ D, Fareez yakin pasukannya mampu memberikan saingan kepada pencabar dalam Kumpulan D. Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemain supaya tidak terlalu yakin atau memandang rendah kemampuan lawan hanya kerana kejayaan menjuarai Zon Utara.
“Semua pasukan yang beraksi di Grand Final ini adalah antara yang terbaik dan sudah tentu masing-masing mahu membuktikan kemampuan,” katanya.