Warga Bangladesh tertinggi langgar syarat pas imigresen

Sumber: Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Warga Bangladesh mencatat jumlah tertinggi dalam kalangan warga asing yang melanggar syarat pas di Malaysia, dengan 6,898 orang direkodkan dari 2023 hingga 15 September lalu, menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, warga Thailand berada di tempat kedua dengan 4,856 orang, diikuti Indonesia seramai 2,154 orang, China (1,207), Vietnam (1,046), Pakistan (823), Myanmar (531), India (500), Nepal (328), Laos (172) dan Filipina (157). Kes selebihnya melibatkan warga negara lain.

“Sebanyak 18,838 kesalahan melanggar syarat pas di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 direkodkan bagi tempoh berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Saifuddin berkata, pas lawatan sosial atau pengecualian visa bagi tujuan lawatan sosial dan pelancongan tidak membenarkan warga asing bekerja atau menjalankan aktiviti perniagaan di Malaysia. Mereka dilarang melakukan kegiatan perniagaan, perdagangan komersial atau bekerja tanpa pas dan permit kerja yang sah.

Bagi menangani aduan dewan-dewan perniagaan mengenai warga asing yang didakwa menguasai perniagaan komersial dan peruncitan secara haram melalui kemasukan bebas visa atau pas lawatan sosial, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan 5,053 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dari 1 Januari hingga 31 Mei 2026.

Menurutnya, operasi itu merangkumi pemeriksaan terhadap 72,854 individu dan membawa kepada penahanan 2,306 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atas kesalahan melanggar syarat pas. Dalam tempoh sama, tindakan turut diambil terhadap 801 majikan kerana menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan atau pas yang sah.

Saifuddin berkata, Ops Selera merekodkan 759 operasi dan tangkapan 2,338 PATI. Ops Belanja pula melaksanakan 409 operasi dengan 589 tangkapan, manakala 75 operasi Ops Jaja membawa kepada penangkapan 90 PATI.

Selain operasi penguatkuasaan, JIM menugaskan pegawai secara omnipresence untuk memantau dan memeriksa premis, selain memberi nasihat serta amaran kepada pemilik premis dan majikan yang menggaji atau melindungi warga asing yang melanggar syarat pas serta permit.

JIM juga menetapkan sasaran kepada semua Jabatan Imigresen Negeri untuk menambah bilangan operasi dan tindakan terhadap majikan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, katanya.